Sumpahan Kum Kum taruhan terbaru Bob


KANAN: Bob(empat dari kiri) bersama barisan pelakon filem Sumpahan Kum Kum.


SELEPAS mencipta rekod luar biasa menerusi filem komedi seram, Ngangkung yang berjaya mengaut keuntungan sebanyak RM8.45 juta, Ismail Bob Hasim atau Bob beralih selera kepada filem bergenre seram untuk filem kelimanya, Sumpahan Kum Kum.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Bob sebagai seorang pengarah muda telah berjaya meletakkan satu penanda aras untuk pengkarya-pengkarya filem bagi menerbitkan filem yang pecah panggung yang menepati selera penonton.

“Rekod kutipan filem di negara ini ada turun dan naiknya. Namun, saya tidak mahu terlalu tertekan memikirkan tentang kutipan dan kini saya hanya mahu fokus terhadap penggambarannya sahaja,” katanya.

Ditemui pada majlis doa selamat dan pelancaran filem itu, Bob masih mempunyai baki tiga lagi filem yang belum ditayangkan selepas Ngangkung iaitu Senario The Movie: Ops Pocot, Alamak Toyol dan Bini-Biniku Gangster yang semuanya bercorak komedi.

Bercerita tentang pengarahan filem seram pertamanya itu, Bob tanpa berselindung mendedahkan dia tidak mampu untuk mengelak sekiranya terdapat antara babak filem tersebut yang berkemungkinan boleh bertukar menjadi bahan ketawa penonton.

“Saya buat filem lebih buat tontonan seorang penonton dan saya mahu ia jujur, selain mempunyai unsur ketakutan.

“Saya juga tidak menolak kemungkina akan ada babak yang mampu menimbulkan rasa geli hati kepada penonton meskipun ia merupakan filem seram. Namun, sudah pasti ia tidak akan berlaku kepada keseluruhan filem,” ujarnya.

Sumpahan Kum Kum telah mula menjalani penggambaran bermula 23 Mac lalu di sekitar Ijok serta Kuala Selangor dan dijangka akan selesai dalam masa 24 hari.

Pemilihan lokasi dibuat berdasarkan konsep penceritaan dan latar cerita yang berbalik kepada era 90-an dan menurut Bob lagi, pemilihan lokasi amat penting kerana ia mampu membantu dalam memberi kesan serta mood lakonan kepada para pelakonnya.

Antara pelakon yang terlibat ialah Fezrul Khan, Putri Mardiana, Farisya Fatin, Lydiawati, Kaza dan dua pendatang baru iaitu Shima Anuar dan Wawa Zainal.