Banjir di Perlis bertambah buruk


KENDERAAN menggunakan laluan yang dinaiki air di persimpangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau semalam.


KANGAR - Keadaan banjir di Perlis bertambah buruk dengan 2,386 mangsa daripada 593 keluarga dipindahkan ke 25 buah pusat pemindahan yang dibuka kerajaan negeri sejak kelmarin.

Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Azizan Hamid berkata, mangsa di daerah Kangar merupakan paling ramai dipindahkan ekoran banyak penempatan penduduk dinaiki air sehingga paras pinggang.

Bagaimanapun, pihaknya menyifatkan banjir kali ini bukan bencana alam sebaliknya merupakan banjir kilat ekoran hanya di kawasan bandar paling teruk terjejas.

"Taburan hujan sejak 29 Mac lalu mencatatkan taburan tertinggi sekitar 130 milimeter menyebabkan sungai Perlis melimpah di sekitar di bandar Kangar.

"Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) masih melepaskan air daripada enam Empangan Timah Tasoh ekoran paras air di empangan itu melebihi paras normal," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.