Semangat United melonjak




LONDON - Juara tiga kali, Manchester United mahu menjadikan penguasaan mereka pada saingan Liga Perdana England sebagai pencetus semangat bagi menghadapi Chelsea pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini.

United akan bertandang ke Stamford Bridge dengan mengetahui bahawa pertemuan kedua-dua kelab gergasi England itu pada dua saingan sebelum ini lebih berpihak kepada pasukan yang beraksi di tempat lawan terlebih dahulu.

Buktinya, pada 2009, Chelsea menyingkirkan Liverpool setelah mereka menang 3-1 pada aksi pertama di Anfield manakala pada 2008, Liverpool menyingkirkan Arsenal setelah seri 1-1 pada aksi pertama di Emirates.

Hanya pada suku akhir musim lalu, tradisi itu diubah oleh dua kelab Perancis apabila Lyon yang beraksi di laman sendiri terlebih dahulu berjaya menyingkirkan Bordeaux dan ia mahu diteruskan oleh Chelsea musim ini.

Satu lagi fakta yang membuatkan skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu bertambah semangat ialah untuk menjadi pasukan pertama selepas Inter Milan berjaya menjulang kejuaraan Eropah di bandar sendiri pada 1965 memandangkan final musim ini bakal berlangsung di Wembley, London.


VIDIC (tengah) membakar semangat rakan-rakan sepasukannya menjelang pertemuan menentang Chelsea pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini.


Namun, ia bukanlah tugas mudah buat Chelsea apabila United tetap masih berpeluang menjuarai tiga kejohanan musim ini iaitu Liga Juara-Juara, Liga Perdana England dan Piala FA biarpun mereka tidaklah beraksi pada tahap terbaik.

Kapten United, Nemanja Vidic berkata, peluang untuk terus beraksi dalam ketiga-tiga kejohanan tersebut tidak boleh dipersia-siakan begitu saja pada peringkat ini.

"Memang seronok apabila kami masih bersaing merebut tiga trofi tetapi ia tidak akan memberi sebarang makna jika kami gagal memenangi mana-mana trofi ini.

"Ia pasti satu pencapaian yang cukup baik andai kami berjaya menjulang ketiga-tiga trofi ini pada musim ini. Tetapi ia memang sesuatu yang sukar dilaksanakan jika melihat kepada pasukan yang kami bakal hadapi.

"Apa pun, ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk kami lakukan," kata Vidic. - Reuters