Lelaki di sebalik koc wanita




PADA malam itu, tiada seorang pun dapat menerobos analogi pemikiran Dr. Aminuddin Adnan. Di sebalik kerancakan majlis meraikan pekerjanya, beliau sebenarnya mempunyai tekad untuk membuat satu pengumuman besar.

Pernyataan itu nanti, bahawasanya akan menuntut kerja yang lebih keras dalam kalangan pegawainya. Bukan itu saja, adunan idea itu merupakan satu lagi anjakan paradigma yang bakal mengubah wajah yang lebih pragmatik dalam industri pengangkutan di Malaysia.

Aminuddin juga beriltizam mahu rakyat negara ini lebih berdisiplin dan yang paling signifikan - menghormati hak kaum Hawa.

Beliau dengan emosi yang tenteram berkata: “Dalam masa terdekat ini, KTMB akan melaksanakan koc wanita. Apa kata kita laksanakan idea ini yang pastinya dapat memberi manfaat pada golongan sasaran.”

Ternyata, buah fikiran Aminuddin membuatkan ramai yang terkejut. Tidak kurang pula yang merengus. Namun, ujar lelaki itu yang memikul amanah sebagai Presiden KTMB mahu membuktikan bahawa kata-katanya bukan sebarangan.

Jelas sekali, pengalaman beliau menjadi antara individu penting di sebalik pelaksanaan Sistem Aliran Ringan (LRT), Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL) dan Lebuh Raya PLUS menjadikan Aminuddin yakin wacananya tidak akan menemui jalan buntu.

Realisasi dalam sebulan

Aminuddin mahu langkah itu segera dilaksanakan. Hatta, beliau memanggil orang-orang kuatnya, Pengurus Besar Perkhidmatan Komuter, Mohd. Hider Yusoff dan Pengurus Kanan Komunikasi Korporat KTMB, Mohd. Fazil Ismail bertandang ke pejabatnya untuk mencari penyelesaian.

“Kami sebenarnya masih lagi terkejut dengan kenyataan itu. Pada ketika itu, kami masih berdepan dengan beberapa masalah dan masih menerima beberapa aduan pelanggan tentang perkhidmatan kami.

“Namun, apabila kami melakukan kajian demi kajian, kami rasa bertanggungjawab melakukan satu pembaharuan setelah meneliti semula respons daripada penumpang wanita yang kurang selesa berada di dalam tren dan berhimpit-himpit pada waktu puncak,” kata Mohd. Fazil ketika ditemui di Stesen Kuala Lumpur bersama-sama dengan Aminuddin dan Mohd. Hider.

Bermula pada saat itu, ketiga-tiga lelaki ini berhempas-pulas menggali formula terbaik untuk mengimplementasi idea tersebut. Maka, bermulalah episod tidak tidur malam dan rutin mesyuarat yang bersiri-siri.


IMEJ dan implikasi koc wanita juga diberi perhatian agar tujuannya dapat dibudayakan oleh para penumpang dan rakyat negara ini.


Mereka menghabiskan masa mencari panduan, memperhalusi kajian, mengkaji keberkesanan, mengira set gerabak sesuai, meminta pandangan pakar, menyelongkar logo yang boleh memberi impak dan banyak lagi perincian lain.

Aminuddin, Mohd. Hider dan Mohd. Fazil tidak mahu konsep yang dijana dipandang remeh.

Seperti kata Aminuddin: “Pelaksanaan koc wanita bukan untuk menyusahkan sesiapa.”

Berkat usaha dan dedikasi yang dicurahkan, dalam tempoh masa sebulan, KTMB berjaya melengkapkan pelannya. Mereka sudah bersedia untuk melancarkan perkhidmatan koc wanita yang dikhaskan untuk penumpang wanita dalam perkhidmatan tren KTM Komuter.

Rintangan

Malaysia bukanlah negara pertama yang mengaplikasikan khidmat koc wanita. Negara Rusia, Jepun, Mesir, India, Taiwan, Brazil, Mexico, Belarus adalah negara yang telah memperkenalkannya. Paling baru ialah Indonesia.

Lazimnya, mana-mana pendekatan baru yang cuba diketengahkan, tidak akan lari daripada sebarang kritikan dan cemuhan. Mahu berjumpa dengan individu yang positif lantas memberi kata-kata pujian, memang sukar. Namun, itu adat.

Mohd. Hider mengakui stigma itu. Bagaimanapun, beliau sempat berhujah: “Di Jepun, misalnya, kita mendapati rakyat Jepun mengambil masa kira-kira setahun untuk menerima pembaharuan yang dilakukan oleh kerajaan mereka.

“Justeru, kami di KTMB menyedari akan wujud pandangan-pandangan pro dan kontra, tapi kita sudah bersedia menelan semuanya.”

Aminuddin pula berterus-terang bahawa pada awalnya, ramai yang menyogoknya dengan soalan-soalan provokatif. Namun, semua itu tidak menyebabkan dia tergelincir daripada paksinya.

“Ada pihak yang tak galakkan kami perkenalkan koc wanita, kata mereka set kita tak cukup, wujud diskriminasi jantina. Namun, daripada data kami, 60 peratus penumpang ialah wanita.

“Jadi, saya berpendapat, implementasi kami bukanlah sesuatu yang tidak tepat atau syok sendiri,” kata Aminuddin.

Mohd. Fazil pula bertalu-talu menjawab pertanyaan daripada pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kita terima banyak e-mel, panggilan telefon, surat daripada NGO-NGO yang mahu kita bentangkan apa faedah koc wanita ini, dan implikasi pada masa depan.

“Ada yang mahu kami tunjuk data sebenar dan tidak kurang juga yang marah-marah sebelum kami buat penjelasan,” imbasnya yang masih teringat tentang kesanggupan pasukannya memantau situasi setiap stesen saat mula-mula koc wanita beroperasi.


PELABELAN khas dengan warna merah jambu seperti ini memudahkan pengguna komuter untuk membezakan koc awam dan koc wanita.


Reaksi orang ramai

Pada hari pertama pelancaran iaitu 28 April lalu, lelaki-lelaki di sebalik pelaksanaan koc wanita ini berdebar-debar menanti reaksi orang ramai.

Syukur, dedikasi dan keazaman yang konkrit memberi pulangan yang berharga kepada mereka dan keseluruhan warga KTMB.

Daripada kajian yang dijalankan, 94 peratus termasuk golongan lelaki dan badan-badan NGO menunjukkan tanda sokongan. Responden menyatakan, idea itu bernas kerana dapat mengekang kaum Hawa daripada menjadi mangsa kerakusan lelaki terutama pendatang asing yang kurang adab.

Pihak KTMB juga menyatakan bahawa mereka tidak menerima lagi sebarang laporan berlakunya gangguan seksual selepas itu.

Perkembangan itu suatu yang membanggakan, lebih-lebih lagi apabila model yang dibangunkan KTMB dijadikan panduan oleh kerajaan Indonesia untuk mengaplikasi pendekatan sama untuk jaringan pengangkutan republik itu.

Di peringkat negara pula, Aminuddin berlapang hati apabila pihak stesen LRT dan bas Rapid KL berhasrat mengikut jejak langkah KTMB dalam melindungi dan menjaga kepentingan kaum wanita.

Undang-undang baru

Gagasan KTMB terus dihargai. Pada November lalu, mereka menerima pengiktirafan daripada Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang berbesar hati dengan usaha KTMB mewujudkan gerabak khas untuk wanita.

Memetik laporan di dada-dada akhbar, Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak turut mengirimkan kata-kata pujian terhadap inisiatif kepada pelaksanaannya. Pelancong-pelancong asing juga tidak terlepas daripada memberi komentar yang membina.

Berdasarkan kejayaan itu juga, kongsi Aminuddin, beberapa pihak tertentu seperti golongan Orang Kurang Upaya (OKU) juga menuntut satu koc khas untuk mereka. Hal ini akan ditimbang-tara.

Bagai sukar untuk dipercayai, kini, sudah hampir setahun koc wanita dipraktikkan.

KTMB mengakui, masih ada suara-suara sumbang yang memperlekeh dan ‘mengusik’ usaha mereka. Namun, mereka tidak akan melenting.

“Bagi kami, satu atau dua penumpang lelaki sama ada sengaja atau tidak masuk ke koc wanita, ia bukan satu kegagalan. Kita akan terus menerus menjalankan kempen dan penguatkuasaan di setiap tren,” kata Mohd. Hider.

Dalam pada itu, difahamkan pihak KTMB sedang merangka peruntukan undang-undang baru bagi mengekang gejala menceroboh koc wanita ini.

Mengambil teguran daripada orang ramai, Mohd. Hider memberitahu, pihaknya juga telah melakukan revolusi terhadap logo wanita. Logo terbaru yang digunapakai kini lebih jelas.

Dalam tempoh lima tahun, adakah masyarakat negara ini dapat membudayakan perkhidmatan koc wanita yang dianggap janggal pada awalnya?

Jawab Mohd. Fazil : “Ya, kami yakin itu akan berlaku, pada masa akan datang juga, kita akan perkenalkan koc wanita pada tren komuter baru kita.

Mohd. Hider pula berpendapat: “Selepas ini, kita akan melihat lebih ramai wanita yang berani dan berasa selamat membawa dan menyusu bayi mereka ketika menaiki tren.”