Gadis syampu buat konsert


KONSERT Melda Ahmad menjadi kemuncak kepada siri realiti GSS yang ditayangkan sejak 11 Januari lalu.


MELIHAT secara fizikal, Nur Imelda Ahmad sama seperti wanita muda lain yang masih mencari haluan hidup.

Dia sedang belajar jurusan muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Tetapi percubaan memuat naik klip video lagunya di laman YouTube tidak lama dahulu telah memberikan impak besar terhadap rutin sehariannya kini.

Awalnya dipilih untuk membintangi Gadis Semasa Sunsilk (GSS), sebuah drama bersiri terbitan Sunsilk, anak kelahiran Kuala Lumpur yang mesra digelar Melda itu bakal teruji sepenuhnya dalam sebuah konsert pada 16 April ini.

Lebih mengejutkan, konsert Melda itu turut menggandingkan nama hebat iaitu Ella, Yuna, One Nation Emcees dan Hujan.

Konsert berkenaan merupakan adegan penutup tirai drama realiti tersebut.

Melda yang sebelum ini dikenali menerusi lagu Putus di YouTube akan bergandingan dengan semua idolanya itu dalam konsert tersebut.

Pengurus Jenama (Sunsilk), Unilever Malaysia Holdings Sdn. Bhd., Emily Chong berkata konsert itu adalah bukti bahawa Melda benar-benar seorang penyanyi.

“Bagaimanapun, apa yang paling penting ialah keyakinan dirinya dan persediaan Melda untuk membuat persembahan.

“Selepas berakhir konsert dan drama itu, terpulang kepada Melda untuk meneruskan apa yang telah dikutipnya selama ini memandangkan kami bukan sebuah syarikat rakaman,” beritahu Emily.

Baru setahun jagung dan diberi tawaran berkongsi pentas bersama artis popular, Melda sendiri tidak pernah menduga perjalanannya dalam GSS akan sampai ke tahap itu.

Dia menyifatkan itulah habuan atas keseriusan yang ditunjukkannya selama ini.

Bercita-cita memiliki sebuah album dan mencurahkan kecintaannya terhadap penulisan lirik, Melda bertuah kerana mendapat bimbingan komposer handalan Ajai.

Berbicara mengenai konsert sulungnya yang akan diadakan secara rakaman di sebuah kawasan lapang berhampiran Kelab Orange, Kuala Lumpur, Melda tidak dapat menyembunyikan perasaan terujanya.

“Saya tidak sangka akan menerajui konsert sendiri tetapi itulah satu-satunya peluang untuk orang ramai mengenali saya. Saya akan cuba melakukan yang terbaik.

“Tidak dinafikan saya gementar namun dengan masa yang ada, saya akan membuat persiapan sebaik mungkin,” tuturnya.

Selain Putus yang telah disuntik elemen baru oleh Ajai, Melda akan melantunkan lagu terbarunya berjudul Aku Adalah Aku pada konsert itu nanti.

Untuk mengikuti perkembangan drama tersebut dan mendapatkan tiket konsert, layari www.facebook.com/GadisSemasaSunsilk.