Wenger tetap optimis


VAN PERSIE dilayangkan kad kuning selepas menjaringkan gol Arsenal ketika seri 1-1 dengan Liverpool di Stadium Emirates kelmarin.


LONDON - Arsene Wenger masih belum menyerah kalah dalam perebutan gelaran juara Liga Perdana England meski- pun Arsenal sekadar seri 1-1 dengan Liverpool di Stadium Emirates kelmarin.

Pengurus skuad The Gunners itu yakin pasukan tersebut masih mampu memintas Manchester United di kedudukan teratas tetapi para pemain perlu berjuang sehingga akhir saingan musim ini.

Arsenal hampir berjaya meraih tiga mata penuh menerusi sepakan penalti Robin van Persie pada minit ke-97 tetapi Dirk Kuyt berjaya menyamakan kedudukan buat Liverpool minit ke-101, juga me- nerusi sepakan penalti.

Dengan keputusan seri itu, Arsenal kini ketinggalan enam mata di belakang United dengan saingan hanya berbaki enam perlawanan.

"Kami perlu memberikan segala-galanya sehingga ke perlawanan terakhir. Selepas itu, barulah kita akan ketahui musim ini menjadi milik kita atau tidak.

"Segala-galanya terletak kepada kami untuk memenangi baki perlawanan. Kami sudah harungi 15 perlawanan tanpa kalah tetapi banyak mencicirkan mata penuh. Memang semua pemain berasa kecewa.

"Tetapi kami perlu terus beraksi dan berjuang selagi mampu. Kami memiliki para pemain yang bercita-cita tinggi dan mahu melakukan sebaik yang boleh," kata Wenger.

Namun Wenger ternyata berang dengan pengadil, Andre Marriner yang memberikan sepakan penalti kepada Liverpool selepas masa kecederaan berlangsung selama 11 minit.

"Penalti itu diberi pada minit ke-11 sedangkan masa kecederaan yang dinyatakan pengadil adalah lapan minit. Saya tidak tahu dari mana datangnya tambahan tiga minit itu.

"Ia juga tidak sepatutnya penalti kerana Lucas Leiva tiba-tiba berhenti di depan Emmanuel Eboue lalu terjatuh.

"Selepas perlawanan, saya turut memberitahu Kenny Dalglish (pengurus Liverpool) bahawa ia bukan penalti," jelas Wenger yang kelihatan berbalah dan enggan bersalaman dengan Dalglish. - AFP