Dunia gajet digital Canon




PENERAJU teknologi pengimejan digital, Canon Marketing Malaysia (Canon) semakin giat melebar pengaruhnya di negara ini dengan kemunculan gajet terkini yang lebih bergaya terutama kepada golongan muda.

Kini, fenomena menggalas beg hitam dengan kamera tergantung di leher bukan sekadar alat perakam foto semata-mata bahkan, ia seperti fesyen terbaru golongan muda walau ke mana sahaja mereka pergi.

Tidak hairanlah di laman sosial terkemuka dunia Facebook sekalipun Canon berjaya mengumpul hampir 150,000 peminat setakat ini dan menjadikan ia satu platform interaktif untuk peminat mendapatkan maklumat terkini.

Sepanjang tahun lepas sahaja, produk terbaik seperti kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) masih menjadi pilihan berikutan peningkatan pasaran yang meluas sehingga 60 hingga 70 peratus.

Terangsang dengan perkembangan itu, Canon tidak membuang masa lantas mencari idea yang lebih kreatif agar fenomena itu tidak disia-siakan begitu sahaja.

Meskipun sudah 24 tahun jenama berkenaan menjadi teman setia peminatnya, namun kehendak dan cita rasa pengguna masih menjadi keutamaan mereka apatah lagi, kini banyak syarikat gergasi digital mula bersaing menawarkan produk terbaik masing-masing.

Menyedari sokongan yang diberikan pelanggan, Canon menganjurkan pameran yang diadakan secara tahunan bagi menghargai sokongan yang diberikan pengguna.

Pameran serta promosi secara besar-besaran bertemakan Eye On Canon berlangsung dari 23 hingga 27 Mac lalu di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur.

Pengarah Produk Pengimejan Komunikasi Canon, Simon Wong memberitahu, pameran secara tahunan itu bertujuan memberi peluang kepada pengunjung memahami lebih banyak produk terbaru mereka di pasaran.

Menurut beliau, sebanyak 16 produk kamera baru diperkenalkan iaitu dua kamera DSLR, tujuh kamera kompak dan tujuh video digital pada harga yang berpatutan.

“Hanya satu syarikat yang memang berkuasa dalam bidang ini (produk digital) melalui penghasilan produk daripada kamera kompak, DSLR, perakam video digital dan pelbagai lensa kamera.

“Bagaimanapun, perkara paling penting bagi kami adalah memahami keperluan pelanggan yang menggunakan kamera dan video tanpa mengabaikan kualiti imej,” kata Simon yang ditemui Kosmo! ketika pameran berlangsung Mac lalu.

Dua DSLR baru


CANON terus mengekalkan penguasaan bagi produk DSLR terutama dengan pelancaran model terbaru EOS 1100D dan EOS 600D.


Pameran selama lima hari itu berjaya menarik hampir 100,000 pengunjung malah, lebih menghangatkan suasana apabila dua lagi model popular DSLR iaitu EOS 1100D dan EOS 600D dilancarkan dengan tawaran ciri-ciri istimewa.

Selain pameran kamera, Canon turut mempromosikan produk lain seperti video kamera digital, pencetak, perkhidmatan servis kamera serta pendedahan kepada pelbagai aksesori kamera.

Dalam pada itu, bagi golongan muda, mereka bukan sahaja mahukan kamera yang bagus daripada aspek rakaman imej, bahkan menekankan kepada reka bentuk kamera.

Justeru jelas Simon, EOS 1100D disasarkan kepada golongan wanita dan remaja kerana reka bentuk dan warna lebih trendy dengan empat pilihan warna iaitu coklat, kelabu, merah dan hitam.

Sementara itu tambahnya, EOS 600D pula hadir dengan pengesan CMOS beresolusi 18 megapiksel dan agak canggih kerana skrin LCD boleh dipusingkan 270 darjah menjadikan ia mudah dikendalikan.

“Ini satu fungsi yang sangat digemari oleh orang ramai selepas kita melancarkan model DSLR 60D. Bagaimanapun model 60D masih ada di pasaran dan yang ini (600D) adalah tambahan daripada model sedia ada.

“Inilah peluang terbaik yang mana mereka boleh memahami bagaimana DSLR dan video digital Canon boleh disesuaikan kepada sesiapa yang ingin menggunakan DSLR untuk merakam gambar atau video berkualiti tinggi,” ujarnya.

Tukar beli kamera

Harga yang ditawarkan bagi kedua-dua DSLR itu amat berpatutan. EOS 1100D dijual pada harga RM1,999 manakala EOS 600D pada harga RM2,999.

Bahkan, pihak Canon menyasarkan jualan EOS 1100D sebanyak 3,000 hingga 3,500 unit sebulan manakala 2,500 unit sebulan bagi EOS 600D.

“Kedua-dua produk tersebut amat istimewa kerana Canon sangat mementingkan harga kurang daripada RM3,000 agar kami dapat mengukuhkan status nombor satu dalam bidang DSLR ini.

“Kami juga yakin, dengan pelancaran dua model ini, ia akan memantapkan lagi penguasaan pasaran kepada 50 peratus,” tuturnya.

Dalam pada itu, pameran tersebut juga menyediakan perkhidmatan tukar beli kamera, video digital ‘full HD’ terpakai pelbagai jenama sama ada yang telah rosak atau pun masih berfungsi bernilai sehingga RM1,000.

Bagaimanapun, katanya, perkhidmatan berkenaan dan segala keistimewaan yang ditawarkan hanya ketika pameran berlangsung sahaja.

Sementara itu, Eksekutif Produk syarikat Tegas Broadcast dan Multimedia Sdn. Bhd., Wesley Ong memberitahu, pameran tersebut mendedahkan pelbagai aksesori menarik kepada pengunjung.

Katanya, rata-rata orang ramai sangat teruja dengan aksesori sokongan bagi gajet perakam seperti DSLR dan perakam video profesional.

“Kami banyak membekalkan aksesori dalam bidang penyiaran daripada alat sokongan DSLR sehingga kepada sistem audio.

“Walaupun harga aksesori ini agak mahal, tetapi bagi pengguna yang begitu serius dalam bidang penyiaran, mereka sanggup membelinya,” katanya.

Tambah Wesley, antara gajet yang menjadi perhatian ramai adalah sistem perakam video 3D yang menggunakan dua perakam video profesional untuk menghasilkan imej 3D yang dilihat secara langsung melalui kaca mata khas pada paparan televisyen.