Budak Kelantan mahu jadi superstar


Along Eyzendy


PERJALANAN seni jejaka dengan nama Along Eyzendy ini tersalut cerita tersendiri. Dia bermula sebagai peniup trumpet sebelum meneruskan pelajaran di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam jurusan muzik.

Tidak segan untuk bercerita bahawa dia tergelincir daripada niat sebenar, Along sempat disergah nikmat dunia sehingga terlupa dengan objektif sebenar.

“Saya lupa seketika dan tidak belajar. Kata-kata ibu mengingatkan saya.

“Katanya walau dengan apa cara sekali pun, dia mahu melihat saya menyarung jubah konvokesyen,” kenangnya terhadap pesan ibu.

Waktu itu dia sedar perlu berada di landasan sebenar. Nasibnya cerah, sewaktu bercuti daripada belajar, dia sempat berteater, bermula dengan teater Gedebe arahan Namron.

Dia kemudian melangkah semula ke Aswara untuk mendalami teater kerana tahu ia cinta sebenarnya.

“Saya bertuah mendapat tunjuk ajar daripada Namron dan kemudian Rosyam Nor yang mengambil saya berlakon dalam siri CID 3278,” ujarnya yang menurunkan berat badan semata-mata untuk membawakan watak seorang anggota polis dengan berkesan.

Wajah Along Eyzendy semakin mesra peminat apabila lelaki berusia 32 tahun ini membintangi filem Budak Kelantan yang menyerlahkan bakat lakonannya.

Filem itu membangkitkan nama Along dalam industri lakonan.

Kali ini dia muncul dalam sebuah drama komedi bersiri yang merupakan rujukan dan pemerhatiannya selama ini.

Membawa watak Husin, seorang penggembala kambing dan lembu, Along pertama kali berada di bawah arahan sutradara Ismail Yaacob untuk drama Ahmad Albob Yang Punya.

Drama terbitan Temenggong Pictures Sdn. Bhd. itu bakal bersiaran mulai Isnin ini dalam slot Lagenda pada setiap pukul 4.30 petang di saluran TV3.

Ia turut menampilkan nama-nama popular seperti Danny X-Factor, Sheera Iskandar, Ropie Cecupak, Liza Abdullah, Asrul Raja Lawak dan Roy Azman.

“Saya gemarkan genre komedi dan merasakan tidak terlalu sukar membawakan watak komedi kerana sudah dilatih dalam teater,” ujarnya yang gemar melihat lakonan Jack Black, Eddie Murphy dan Adam Sandler.

Along banyak mempelajari cara ketiga-tiga aktor hebat Hollywood itu mengeluarkan emosi dalam genre lucu.

Mengaku perjalanan kariernya setakat ini sukar kerana masalah komunikasi dengan wartawan dan penerbit, Along yang selalu berasa rendah diri ini sedang cuba memperbaiki kelemahan tersebut.

“Bila perlu berkomunikasi di luar kerja, saya mengalami kesukaran tetapi di depan kamera, saya meletakkan diri sebagai orang yang paling bagus,” ujarnya.

Antara filem yang bakal menampakkan lagi kebagusan lelaki ini adalah Seru dan Karak yang bakal muncul di pawagam.

“Saya jaga disiplin dan kualiti kerja. Itu yang penting, kan. Sasaran saya mahu jadi superstar dan sukses dalam bidang lakonan,” ujar jejaka ini yang turut bercita-cita menjadi pengarah.

Telefilem Sanggul Beracun yang disiarkan pada pukul 10 malam ini di saluran Astro Citra (131) turut mempamerkan keberkasanan lakonan Along di bawah arahan Sabri Yunus.