Tahun sibuk Fizo




PEMINAT-PEMINAT aktor berbadan sasa, Fizo Omar pasti sudah lama tidak melihat pemuda ini beraksi di kaca televisyen sejak melihatnya beraksi menerusi drama Siti Kelembai mahupun Ulik Mayang.

Fizo atau nama sebenarnya, Wan Hafizol Wan Omar meluahkan bicaranya, mengakui akan perasaan rindu timbul jauh di lubuk hatinya apabila sudah enam bulan tidak terlibat dengan sebarang projek drama.

“Bukannya saya tidak ditawarkan berlakon sebarang drama tetapi saya sebenarnya ingin memberi konsentrasi terhadap filem dan juga bidang pengacaraan.

“Namun, alhamdulillah kerana itu merupakan rezeki saya dan sasaran saya juga untuk banyak berlakon filem tercapai sudah,” jelas Fizo yang ditemui di lokasi penggambaran filem Halim Munan di Hulu Langat, Selangor baru-baru ini.

Bagi Fizo, tahun 2010 dan 2011 merupakan tahun paling sibuk sepanjang penglibatannya sebagai anak seni. Ini kerana buat pertama kalinya, dia terlibat dengan pementasan teater berjudul Siti Di Alam Fantasi yang turut memenuhi jadual hariannya.

Selain itu, tawaran berlakon filem yang diraihnya juga melimpah ruah. Selain Halim Munan, dia juga bakal muncul menerusi filem Hello.

Filem lakonan Fizo yang mengandingkan dirinya dengan aktor popular Shaheizy Sam, Kongsi pula kini sedang hangat ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Dikenali sebelum ini sebagai peragawan dan pelakon, namun, anak muda berusia 26 tahun ini tidak mahu membataskan bakatnya terhadap dua bidang tersebut sahaja.

“Saya terpaksa menolak projek lain kerana ingin memberi ruang kepada program Travel Log 3 hari 2 malam yang memakan masa selama tiga bulan.

“Saya berikan komitmen sepenuhnya kepada program ini kerana saya ingin perkembangkan bakat saya dalam bidang pengacaraan pula,” ujar Fizo yang menegaskan bahawa penglibatannya dalam dunia pengacaraan mendapat respon positif daripada semua pihak.

Walaupun pengalamannya dalam lakonan baru mencecah hampir empat tahun, Fizo telahpun mencuba bahagian sukar dalam bidang tersebut iaitu dengan melibatkan diri dalam dunia teater.


KOMEDI. Ekpresi wajah dan lakonan Fizo untuk filem Halim Munan.


Apa yang menariknya, pemuda kelahiran Kota Bharu Kelantan ini bukan hanya diberi kepercayaan untuk memegang satu, malah dua watak iaitu sebagai Ketua Lipas dan Putera Raja menerusi teater Siti di Alam Fantasi 3 yang dipentaskan di Istana Budaya dari 22 hingga 31 Disember tahun lalu.

Bicara Fizo lagi, dunia teater memberi kepuasan dan pengalaman berbeza berbanding lakonan di filem mahupun drama.

Dia berpendapat, berlakon teater adalah jalan terbaik buat dirinya untuk mempelajari dan memperkuatkan ilmu lakonan.

“Menerusi teater, di samping ilmu berbeza yang diterima, saya juga dapat kurangkan rasa gugup apabila berada di atas pentas.

“Selain itu, kepuasan berlakon teater berbeza kerana saya berasa lebih dihargai.

“Jika berlakon filem mahupun drama, penghargaan itu perlu tunggu namun menerusi teater, jika apa yang kita lakukan itu baik, respons penonton akan terus dapat dilihat dengan tepukan atau sorakan yang diberi,” jelas Fizo.

Buka restoran

Menyentuh tentang filem Halim Munan, ia berkisar tentang Halim Munan iaitu seorang pemuda lurus bendul yang sering dibuli dan diejek oleh rakan-rakan sekampungnya. Halim juga sering berangan untuk menjadi orang halimunan.

Sehinggalah suatu ketika Halim difitnah oleh rakan rakannya itu sehingga membuatkan dia nekad untuk menjadi orang halimunan yang sebenar dengan berjumpa seorang pawang.

Fizo diberi kepercayaan menghidupkan karakter Halim tersebut. Bagi Fizo sendiri, cabaran melakonkan watak Halim ialah ketika menjadi halimunan kerana ia membaitkan penggunaan teknologi imej janaan komputer (CGI).

Jadi, perkara ini memerlukan dia dan karyawan Halim Munan bekerja lebih keras.


FILEM Halim Munan mempertaruhkan lakonan Fizo dan Gbob Raja Lawak.


“Ini kerana kami tidak berlakon di dalam studio. Kami melakukannya di luar studio dan kerana itu juga, kadangkala kami hanya lakukan satu babak sehari.

“Berbanding membuat penggambaran filem tanpa CGI, hanya perlukan satu sudut shot kamera, tetapi bagi babak menggunakan CGI, shot perlu diambil dari beberapa sudut kamera,” jelas Fizo yang turut memberitahu badannya juga perlu dicat biru untuk babak CGI serta dibersihkan semula bagi babak biasa dan begitulah seterusnya.

Selain itu, Fizo juga sedang sibuk dengan projek buku resipi masakannya yang akan dilancarkan pada tahun ini.

Buku yang mengandungi 50 resipi itu bakal memuatkan resipi-resipi masakan Thailand yang dipelajarinya sejak kecil.

Fizo memberitahu, memasak merupakan minatnya sejak kecil. “Saya rasa ia suatu keistimewaan yang dikurniakan buat saya memandangkan keluarga sebelah ibu juga ada yang menjadi chef, ” ujar pemuda berdarah kacukan Melayu, Siam dan Arab itu.

“Menerusi buku resipi saya itu nanti, saya tampilkan konsep masakan yang mudah yang sesuai untuk orang bujang,” tambahnya yang juga berhasrat mahu membuka sebuah restoran.