May 25 tahun


DARI kiri: Man, Mus, Abu dan Yus masih bersemangat tinggi untuk meneruskan hayat May selepas 25 tahun kewujudannya.


INDUSTRI muzik di negara ini pada era 1980-an ternyata telah didominasi oleh muzik rock. Ketika itu, terdapat banyak kumpulan rock tempatan yang telah ditubuhkan. Biarpun sekarang muzik rock sudah tidak lagi mendominasi, namun masih terdapat beberapa kumpulan rock yang terus bertahan sehingga hari ini.

Antaranya seperti kumpulan May yang mula ditubuhkan pada tahun 1986 dan kini sudah mencecah usia 25 tahun. Kumpulan yang ditubuhkan di Ipoh, Perak itu dianggotai oleh Abu (Mohd. Nassier Yusof), Mus (Mustaffa Din), Man (Mohamad Saarip Yaakob) dan Yus (Mohd, Mohtar Mohd. Madin).

Masih mampu lagi bertahan hingga ke hari ini, lagu-lagu nyanyian mereka juga masih tetap menjadi siulan anak-anak muda seperti Sendiri, Cintamu Mekar Dihati dan Cintaku Sewangi Kasih.

Sempena sambutan jubli perak kumpulan berkenaan, mereka kali ini telah tampil dengan sebuah album istimewa yang berjudul May 25th Anniversary.

Album yang diterbitkan oleh mereka sendiri itu mula dihasilkan pada Oktober tahun lepas dan menjalani proses rakaman di Sinar Studio yang dimiliki oleh oleh Mus.

“Sebanyak 11 buah lagu yang terkandung di dalam album ini, di mana terdapat enam buah lagu baharu telah dihasilkan, manakala lima buah lagu adalah lagu daripada beberapa album terdahulu.

“Sebenarnya album ini akan dilancarkan pada awal tahun ini, namun kami ambil keputusan untuk menangguhkannya agar ia dapat dijual seiring dengan diskografi yang kumpulan May,” ujarnya pada majlis pelancaran album dan sambutan ulang tahun ke-25 May di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurutnya apa yang menarik tentang album itu adalah ia turut disertakan dengan set diskografi edisi terhad yang mengandungi buku biografi, cakera video digital (DVD), video muzik dua buah lagu dan penanda buku 3D.

Ujarnya, menerusi buku biografi tersebut akan menceritakan secara lebih terperinci tentang kewujudan May dan perjalanan mereka dari mula ditubuhkan sehingga sekarang.

Yantzen dan Oney

Ketika ditanya mengenai kos penerbitan album berkenaan, Mus enggan mendedahkannya jumlah sebenar tetapi sekadar menyatakan ia mencecah ratusan ribu ringgit.

Jelasnya, selain menggunakan wang hasil daripada mengadakan showcase sebelum ini, mereka turut mendapatkan pinjaman daripada Dana Industri Kreatif menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Kami bersyukur apabila permohanan untuk membuat pinjaman sebanyak RM100,000 telah diluluskan, biarpun terpaksa menempuhi proses yang agak panjang dan lama,” ujarnya.

Selain menghasilkan album baharu, kumpulan May turut mempunyai sebuah lagi perancangan yang agak besar iaitu mahu mengadakan sebuah konsert sempena ulang tahun yang ke-25 kumpulan itu.

Menurut Mus, kertas kerja untuk melaksanakan konsert berkenaan sudah pun disiapkan dan pada ketika ini mereka sedang cuba untuk mencari para penaja.

“Kami turut merancang untuk mengadakan kemuncak konsert berkenaan di Ipoh, Perak memandangkan kumpulan kami ini berasal dari tempat tersebut.

“Malah, semasa konsert itu nanti kami akan menampilkan dua bekas vokalis kumpulan May sebelum ini seperti Yantzen (Yantzen Jiniwan) dan Oney (Mohd. Redzuan Abdul Aziz) kerana tanpa mereka, pastinya kumpulan ini akan berkubur lebih awal,” jelasnya.

Bagaimanapun, Mus menjelaskan bahawa mereka sangat berharap agar mendapat sokongan penaja kerana tanpa sokongan mereka pastinya konsert yang dirancangkan itu sukar untuk dilaksanakan.

“Sekiranya perancangan untuk konsert berkenaan gagal, kami akan terus membuat persembahan showcase biasa dan mengikut jadual kami akan beraksi di beberapa buah tempat seperti Pulau Pinang, Terengganu dan Singapura,” ujarnya.

Sebagai permulaan, mereka bakal membuat persembahan pada 29 Mei ini di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur sempena May 25th Anniversary Celebration.

Sewaktu persembahan tersebut, lima orang penyanyi akan turut terlibat dan akan menyanyi lagu-lagu popular mereka iaitu kumpulan The Band, Shewolves, Duta dan Khalifah.