Kasih Jamal buat kaum ibu


JAMAL begitu syahdu saat menyanyi sambil ditemani seorang peminatnya yang merupakan seorang ibu.


SEJAK awal pembabitannya di dalam dunia seni tanah air, Jamal Abdillah sememangnya dikenali sebagai seorang penyanyi yang agak pemalu dan kurang berkomunikasi dengan penonton.

Namun, Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali tampil dengan personaliti berbeza seramai hampir 660 orang ibu hadir menontonnya semasa mengadakan persembahan sempena sambutan hari ibu yang diadakan oleh Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ini merupakan kali yang kedua Jamal meraikan para ibu bersama PWTC, dan jika tahun lepas Jamal berpasangan bersama Aishah, tahun ini Jamal tampil solo di dalam sambutan yang dinamakan Kasihnya Ibu itu.

"Kali ini saya banyak berceloteh kerana saya tahu ibu-ibu yang hadir kesemuanya pasti ingin melihat persembahan dan berjumpa dengan saya.

"Jadi, saya ingin hiburkan para ibu semua yang telah banyak berkorban. Kerana ini, saya ingin beri yang terbaik buat mereka," ujar Jamal yang telah menyampaikan sebanyak 11 buah lagu termasuk lagu baru dari album Raja Pop 2, Secupak Dua Cupak.


BERGANDING. Jamal menyanyi dengan iringan tiupan saksafon oleh Alif Nasir.


Antara lagu lain yang dinyanyikan ialah Takdir Penentu Segala, Kau Lupa Janji, Padamu Kekasih, Azura, Kasihnya Ibu, Jeritan Batinku, Sandarkan Pada Kenangan, Di Sudut Kamar Hatiku dan Gadis Melayu.

Jamal juga turut menyanyikan sebuah lagu yang belum pernah dinyanyikan dan sebenarnya lagu itu ditujukan khas kepada arwah ibunya yang telah meninggal dunia lebih 10 tahun lalu.

Lagu yang berjudul Penawar Kasih itu digubah oleh Fauzi Marzuki dan lirik oleh Habsah Hassan.

Tambah Jamal, pemilihan lagu-lagu tersebut dipilih untuk meruntun dan mencuit hati para ibu dan tetamu yang hadir untuk sama-sama menghargai jasa ibu.

Apa yang pasti, setelah 32 tahun bergelar anak seni, vokal Jamal masih lagi mantap dan berjaya memukau para tetamu yang hadir pada petang itu.

Menambah kegembiraan dan keterujaan para ibu yang hadir, 10 orang yang bertuah telah dipilih untuk menikmati makan malam secara eksklusif bersamanya di PWTC.

Suasana petang tersebut turut digamatkan oleh pelawak terkenal, Syed Muradzi Syed Shamsul atau lebih dikenali sebagai Dee sebagai pengacara majlis.

Telatah selamba Dee berjaya memeriahkan majlis dan sepanjang tiga jam berlangsung, tetamu yang hadir tidak kering gusi dengan lawak yang disampaikan.

Majlis tersebut juga turut dihiburkan dengan alunan merdu saksofon dari seorang saksofonis muda yang bernama Alif Nasir yang mana dia juga turut mengiringi lagu Jeritan Batinku bersama nyanyian Jamal.


JAMAL ABDILLAH dikerumuni peminat yang begitu mengagumi bakat luar biasanya.


Sebagai pembuka tirai, PWTC juga turut menjemput seorang penyanyi muda, Zuliana.

Menurut Pengarah Komunikasi Pemasaran PWTC, Fadzilah Said, sambutan Kasihnya Ibu dan aura Jamal Abdillah sangat hebat hingga kesemua 66 meja yang memuatkan 10 orang sebuah habis dijual dan perlu lagi menambah sebuah meja kerana tempahan minit terakhir.

"Pada acara tahun hadapan kami akan mengambil Jamal semula dan mungkin kali ini kami akan gandingkan Jamal dengan seorang artis lain," ujar Fadzilah tentang perancangan sambutan hari ibu PWTC pada tahun hadapan.