Penunggang motosikal mahu nahas

21/05/2011 6:41pm

KUALA LUMPUR Seorang penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan sebuah kereta yang memasuki laluan salah dalam kejadian langgar lari di Jalan Cheras menghala ke Bukit Jalil di sini, hari ini.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP Abdullah Roning berkata, kejadian berlaku kira-kira 1.45 petang tadi apabila Yip Yoon Kong, 51, hendak keluar dari sebuah lorong sebelum bertembung dengan sebuah Proton Putra yang memasuki simpang itu.

"Akibat pertembungan itu, Yoon Kong yang beralamat di Batu 9 Cheras, maut di tempat kejadian, katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas kepada Bernama di sini.

Abdullah berkata menurut saksi, pemandu kereta dengan nombor pendaftaran WGB 4438 adalah seorang lelaki tetapi dia kemudian melarikan diri.

Mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai, katanya. - Bernama