Lari dikejar runtuhan tanah bukit


ANGGOTA penyelamat membantu seorang mangsa yang cedera dalam tragedi tanah runtuh di Rumah Anak Yatim Al-Taqwa dan Madrasah Baitul-Taqwa di Hulu Langat semalam.


HULU LANGAT - Penghuni Rumah Anak Yatim Al-Taqwa dan Madrasah Baitul-Taqwa di sini, Mohd. Jihad Jalal, 14, hanya sempat mengingat keadaan cemas dia dikejar runtuhan tanah sehingga separuh daripada tubuhnya tertimbus.

Kejadian pukul 2.15 petang semalam digambarkan berlaku begitu pantas sehinggakan Mohd. Jihad yang berada di bawah khemah yang terletak di sebelah dewan makan rumah anak yatim itu tergamam.

"Saya terus lari sampai terjatuh sebelum kena timbus dengan tanah dan batu hampir separuh badan.

"Nasib saya baik sebab ada orang kampung datang menarik saya keluar,'' cerita Mohd. Jihad yang masih terkejut dengan kejadian tersebut.

Remaja yang berasal dari Puchong, Selangor itu baharu tiga bulan menghuni rumah tersebut.

Sementara itu, seorang lagi penghuni, Mohd. Shahrizal Amrizal, 14, memberitahu, ketika kejadian dia sedang berjalan menuju ke dewan makan tersebut.

"Saya nampak ada beberapa orang rakan sedang mengelap kerusi dalam dewan itu. Bila saya nampak tanah runtuh, saya hanya sempat menjerit minta mereka lari,'' katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.