Greece jual pulau bayar hutang IMF


MANTAN Presiden Indonesia, Suharto menandatangani dokumen perjanjian IMF sambil diperhatikan Pengarah Urusan IMF, Michel Camdessus di Jakarta pada 15 Januari 1998.


NAMA IMF di Malaysia hangat diperkatakan pada 1997 hingga 1998, tahun di mana banyak negara di Asia mengalami kegawatan ekonomi.

Pada masa itu, agensi kewangan berkenaan tampil untuk memberi bantuan berbilion dolar kepada negara seperti Korea Selatan, Indonesia dan Thailand dengan harapan dapat menyelesaikan masalah mereka.

Misi utamanya ialah untuk memberi bantuan kewangan kepada negara yang mengalami krisis kewangan atau penurunan nilai mata wang secara mengejut.

Bagaimanapun, Malaysia tidak berminat untuk meminjam daripada IMF kerana tidak mahu badan itu campur tangan dalam dasar-dasar ekonomi negara.

Lagipun, sejak ditubuhkan pada tahun 1945, jarang negara yang mendapat bantuan IMF mampu keluar daripada kepompong kemiskinan atau masalah yang membelenggu mereka.

Sebaliknya, status quo yang mencerminkan negara kaya bertambah kaya dan negara miskin semakin tersepit lebih jelas.

Dikuasai oleh negara-negara kaya termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Jerman, Britain, Perancis, Itali dan Kanada, mereka dikatakan mempunyai hak dalam menguruskan dana IMF.


GREECE negara yang terkenal dengan pulau-pulau yang cantik terpaksa menanggung akibat berhutang dengan IMF.


Malah, menurut laporan akhbar sebelum ini, mereka mempunyai hak suara dalam semua proses membuat cadangan dan keputusan penting.

Dalam sisi yang lain, selepas gawat melanda Asia pada 1998 dan AS pula dilanda masalah sama 10 tahun selepas itu, kini negara-negara Eropah berdepan dengan kemelut ekonomi yang meruncing.

Bermula dengan Greece, negara yang indah dengan pulau dan penempatan persisiran laut itu menjadi negara pertama di Eropah yang menerima pinjaman sebanyak AS$155 bilion (RM333.5 bilion), diikuti Ireland dan Portugal.

Lantaran gawat juga, pemerintah Greece mula menjual pulau-pulau di negara itu sejak tahun lalu untuk membayar balik hutang negara yang mencecah puluhan bilion euro.

Turut dijual ialah tanah milik negara di Pulau Mykonos, destinasi paling popular di Greece. Semuanya sebagai usaha mengumpul modal untuk membangunkan kawasan tersebut sebagai destinasi pelancongan mewah.

Usaha itu terpaksa diambil selepas negara berkenaan semakin terdesak mengumpul dana setelah menerima pakej penyelamatan IMF.