Perginya seniwati Mahyon Ismail


MAHYON pernah membintangi produksi filem Hong Kong, The Red Spells.


HILANG lagi sebutir bintang yang pernah menghiasi dunia seni suatu ketika dahulu, saat dikejutkan dengan pemergian pelakon veteran seniwati Mahyon Ismail atau nama sebenarnya Mayayun Ismail, 69, yang kembali ke rahmatullah pada pukul 1 tengah hari, Jumaat lalu di Hospital Pakar Ampang Putri, Kuala Lumpur.

Suatu ketika dahulu bukan sahaja bakat lakonannya berjaya menarik perhatian tetapi kejelitaannya juga berjaya memukau pelakon hebat Hussein Abu Hassan sehingga dia disunting menjadi isteri.

Darah seni yang mengalir pekat dalam diri kedua artis ini diwarisi pula oleh tiga orang anaknya iaitu Faizal Hussein, 44, Fairuz Hussein, 46 dan Fadilla atau Dilla Hussein, 47.

Menurut Dilla, kepergian ibunya itu tidak dijangka kerana tidak mempunyai sebarang masalah serius berhubung kesihatan kecuali menghidap penyakit kencing manis sejak 1999.

“Cuma, dia ada mengalami demam panas dan batuk selama tiga minggu,” kata Dilla yang kemudiannya membawa ibunya itu ke klinik sebelum doktor kemudiannya menyarankan ibunya itu dibawa ke hospital untuk rawatan susulan.

Menyingkap kembali penglibatannya dalam dunia seni, seniwati yang mempunyai lima orang cucu ini mula dikenali menerusi filem Abu Nawas dan Tun Teja pada tahun 1961. Ketika itu dia hanya berperanan sebagai pelakon tambahan.

Antara filem yang pernah membawa namanya ke puncak ialah Bunga Padi Berdaun Lalang (1975), Tiada Esok Bagimu (1978), Dia Ibuku (1980), Senja Merah (1982), Gila-Gila Remaja (1986) dan Pemburu Bayang (1991).

Mengulas lanjut mengenai perjalanan seni Mahyon, dia meletakkan intipati gigih, sabar dan bersungguh dalam membina kerjaya seninya agar tidak pudar sinarnya biarpun dirinya semakin dimamah usia.

Disebabkan itu, Allahyarhamah juga pernah ditawarkan berlakon filem-filem sekitar tahun 2000 dan 2002 iaitu filem Syukur 21 dan Cinta 200 Ela.

Malah, Allahyarhamah baru sahaja selesai penggambaran drama Terapah Bulan Madu di bawah Skop Production minggu lepas.

Bukan itu sahaja, pada era 1960-an, Allahyarhamah sempat berkongsi pentas seni bersama seniman agung Tan Sri P. Ramlee dalam filem Nasib Do Re Mi.

Bakat lakonan Allahyarhamah juga melangkaui sempadan apabila terlibat dalam sebuah filem seram iaitu The Red Spells yang menjalani pengambaran di Sarawak. Filem itu merupakan keluaran penerbitan sebuah produksi Hong Kong.

Sudah lumrah menjadi artis. Allahyarhamah juga pernah dilanda kontroversi apabila sebuah artikel berjudul Mahyon Naik Risau Hussein Kahwin Lagi menyebabkan mahligai indah yang dibina bersama suami tercinta bergolak seketika.

Namun, Allahyarhamah yang sememangnya terkenal dengan diri yang bersifat tenang membiarkan sahaja gosip tersebut berlalu begitu sahaja.

Kehadiran Allahyarhamah sedikit sebanyak memeriahkan industri hiburan tanah air suatu ketika dahulu.

Sesungguhnya selepas kira-kira empat tahun selepas kepergian Hussein pada 26 November 2007 di Hospital Kuala Lumpur kerana penyakit buah pinggang dan beberapa komplikasi penyakit lain, akhirnya Mahyon pula menyusul dan suami isteri itu dikebumikan di tanah perkuburan yang sama di Taman Ibu Kota Muslim di Setapak, Kuala Lumpur.