Durian Malaysia ke China mulai Julai

24/05/2011 12:40pm

PETALING JAYA - Mulai Julai, buah durian tempatan akan dieksport ke negara China berikutan kebenaran rasmi daripada kerajaan China untuk menerima eksport “raja buah” itu, yang diperoleh Malaysia kira-kira dua minggu lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, kerajaan sejak bertahun lamanya berusaha untuk membawa durian Malaysia menembusi pasaran China namun tidak berjaya sehinggalah usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuahkan hasil.

"Perdana Menteri mencadangkan ketika lawatan ke China supaya dibawa durian dari negara ini untuk dirasai oleh pegawai tertinggi kerajaan China termasuk Perdana Menteri, Wen Jiabao.

"Mereka begitu berminat dan tertarik selepas merasa durian kita dan kita mendapat surat rasmi daripada kerajaan China pada 11 Mei lepas,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang kuiz program televisyen

“Agro Xplorasi” di Bandar Utama hari ini. - Bernama