Simbah minyak panas: Hukuman ditambah

25/05/2011 10:19pm

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menambah hukuman penjara daripada 11 tahun kepada 18 tahun terhadap seorang warga India, yang mengaku bersalah menyebabkan kematian iparnya.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hasan Lah, Datuk Sulong Matjeraie dan Datuk Sulaiman Daud sebulat suara meluluskan rayuan pihak pendakwa agar hukuman terhadap M. Murugesan ditambah.

Timbalan Pendakwa Raya, Munahyza Mustafa merayu kepada panel hakim itu supaya menambah hukuman penjara 11 tahun yang dijatuhi Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Ogos 2008 terhadap lelaki itu selepas dia mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan membunuh G. Subramaniam tanpa niat.

Beliau berkata, hukuman penjara itu tidak memadai dan oleh itu perlu ditambah demi kepentingan awam.

Murugesan melakukan kesalahan itu di Jalan Kampung Jawa, Batu 3 1/2, Klang pada pukul 3 pagi 23 Februari 2006. – Bernama