Selebriti jayakan Rentap Futsal Kosmo!




BIASANYA penampilan selebriti tempatan terutamanya penyanyi dan pelakon hanya dapat disaksikan sama ada ketika membuat persembahan pentas atau menerusi lakonan mereka yang disiarkan di kaca televisyen.

Bagaimanapun, sempena dengan Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 sempena Hari Belia Negara 2011 yang diadakan di Putrajaya dan bermula pada Khamis hingga Ahad lalu, terdapat aktiviti menarik yang disedikan kepada pemain dan pengunjung.

Selain kejohanan yang membabitkan 1,601 pasukan futsal di seluruh negara, mereka yang berada di kawasan kejohanan pula berpeluang menyaksikan selebriti popular beraksi dalam acara futsal pada Sabtu lepas.

Lebih menarik lagi, pihak Kosmo! telah berjaya mengumpulkan sehingga 14 orang selebriti popular tanah air yang terdiri daripada penyanyi dan pelakon.

Antara selebriti yang sanggup meluangkan masa untuk sama-sama memeriahkan acara perlawanan futsal membabitkan selebriti adalah Sheera Iskandar, Yatt Hamzah, Fida Ibrahim, Roslan Shah dan Syed Ali.

Selain itu, acara berkenaan turut membabitkan selebriti seperti Zain Saidin, Tengku Norhanis, Rina AF6, Ekin AF3, Tom Mystarz LG, Syawal AF5, Shafiq Isam serta dua bekas peserta program realiti Anak Wayang, Afzan A. Rahman dan Amar Baharin.

Diadakan pada hari ketiga kejohanan tersebut, ternyata kehadiran 14 orang selebriti ketika itu dilihat telah menarik minat ramai pemain dan pengunjung yang mahu menyaksikan selebriti kegemaran mereka beraksi.

Berlangsung sebanyak empat sesi perlawanan, sesi pertama dan kedua membabitkan pasukan selebriti yang menentang pasukan pilihan Kosmo!. Sementara, sesi ketiga dan keempat pula adalah perlawanan sesama selebriti.

Ternyata perlawanan yang membabitkan kedua-dua pasukan berlangsung dalam keadaan sengit, meskipun pasukan selebriti akhirnya tumpas dengan keputusan 4-3.

Menariknya, selain Syawal AF5 dan Zain Saidin berjaya membolosi gawang Kosmo!, salah seorang pemain wanita iaitu Yatt Hamzah telah berjaya menjaringkan satu gol.

Biarpun tewas, namun matlamat utama kejohanan yang membabitkan pasukan selebriti itu bukanlah semata-mata mahu mencari kemenangan, sebaliknya ia sebagai satu cara untuk merapatkan hubungan selebriti dengan orang ramai.

Salah seorang wakil selebriti, Yatt Hamzah berkata, langkah pihak Kosmo! untuk mengundang para selebriti bermain futsal sememangnya satu langkah yang wajar dipuji.


INILAH barisan pasukan selebriti dan pasukan pilihan Kosmo! yang memeriahkan lagi Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 .


Ujarnya, memandangkan jadual harian sebagai seorang artis sememangnya tidak menentu, hanya dengan cara sebegini mereka dapat meluangkan masa untuk melakukan aktiviti yang sihat.

“Pertama sekali saya mahu ucapkan terima kasih kepada pihak Kosmo! kerana mengundang kami menyertai perlawanan futsal ini. Lagipun melalui acara sebegini juga adalah peluang terbaik untuk berkumpul sesama rakan selebriti lain.

“Apa yang lebih penting saya dan rakan-rakan sangat gembira melihat kepada sambutan yang diterima terutama sokongan daripada pengunjung ketika kami beraksi,” ujar Yatt yang mewakili rakan selebriti yang lain.

Tambah Yatt, dia sendiri sebenarnya adalah penggemar sukan futsal dan memberitahu dia tidak keberatan jika diundang untuk menjayakan aktiviti sebegitu pada masa akan datang.

Sementara itu, seorang lagi pelakon baru iaitu Syed Ali yang popular menerusi drama Kamelia Katrina menjelaskan bahawa dia sangat menghargai undangan daripada Kosmo! untuk beraksi dalam acara futsal.

“Dengan kerjaya sebagai seorang pelakon, tidak dinafikan jadual harian sentiasa sibuk sehingga tiada masa untuk melakukan sebarang aktiviti riadah.

“Maka, saya sangat menghargai undangan untuk bermain futsal ini dan ia juga dilihat sebagai satu bentuk sokongan yang dapat diberikan memandangkan artis dan media perlu saling membantu,” ujarnya.

Konsert

Selain perlawanan futsal membabitkan pasukan selebriti, pengunjung di kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 turut dimeriahkan lagi konsert oleh beberapa penyanyi popular tanah air.

Selepas berakhirnya acara perlawanan futsal pada hari berkenaan, para pengunjung kemudiannya telah dihiburkan dengan konsert yang menampilkan penyanyi Farahwahida dan Azlan and The Typewriter.

Pada petang itu, Farahwahida menyampaikan dua buah lagu berjudul Hey Ladies yang dipopularkan oleh Rossa serta single terbaharunya iaitu Jangan Tanya Aku Lagi.


KUMPULAN Forteen tampil dengan persembahan yang rancak dan segar.


“Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan syabas kepada pihak Kosmo! kerana telah berjaya menganjurkan sebuah kejohanan futsal yang begitu besar.

“Bagi saya, ia adalah satu aktiviti sihat yang sesuai untuk golongan belia dan saya turut berbangga kerana berpeluang untuk mengadakan persembahan di kejohanan ini,” ujarnya.

Konsert berkenaan semakin hangat apabila Azlan muncul di pentas dengan membawakan dua buah lagu iaitu Jeritan Batinku dan Lagu Untukmu.

Sementara itu, memandangkan kejohanan futsal berkenaan berlangsung selama 24 jam, pengunjung juga telah dihiburkan menerusi konsert yang berlangsung pada pukul 12 tengah malam.

Konsert itu menampilkan persembahan Yazer AF3 serta dua kumpulan yang bernaung di bawah KRU Studios iaitu kumpulan Forteen dan Tiga.

Konsert dihangatkan lagi dengan persembahan tarian oleh dua kumpulan daripada program Showdown 2011, Bounce Stepperz and HMC Phlow.

Pada hari yang terakhir Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 pula, para pengunjung pula telah didendangkan dengan persembahan kelahiran Akademi Fantasia iaitu Mila Jirin dan Nubhan.