Piala Itali sah milik Inter Milan


PARA pemain Inter Milan bersorak kegembiraan selepas berjaya memenangi gelaran Piala Itali musim ini dengan menewaskan Palermo 3-1 pada aksi final di Stadium Olimpico awal pagi semalam.


ROM - Samuel Eto'o muncul wira apabila meledak dua gol bagi membantu kemenangan 3-1 Inter Milan ke atas Paler- mo pada aksi final Piala Itali di Stadium Olimpico awal pagi semalam.

Kejayaan tersebut sekali gus menebus kekecewaan Inter yang gagal mempertahankan dua trofi yang dimenangi mereka musim lalu iaitu Liga Juara-Juara dan Serie A.

Eto'o yang juga penyerang antarabangsa Cameroon meledak dua gol, masing-masing pada minit ke-26 dan 76.

Ezequiel Munoz merapatkan jurang buat Palermo hasil jaringan pada minit ke-88, namun ia sudah tidak membawa apa-apa makna setelah Diego Milito meledak gol ketiga Inter dua minit kemudian.

Jurulatih Inter, Leonardo yang memenangi trofi kejuaraan pertamanya sejak bergelar jurulatih, memuji persembahan yang dipamerkan anak-anak buahnya bagi mengesahkan Piala Itali menjadi milik mereka.

"Ia merupakan satu musim yang sukar buat kami apabila beberapa tonggak utama mengalami masalah kecederaan.

"Selain itu, pemain-pemain terpaksa menyesuaikan diri dengan corak permainan yang berbeza di bawah kendalian tiga jurulatih berbeza musim ini.

"Banyak sebab untuk pemain-pemain berhenti begitu sahaja tetapi mereka tetap mahu berjuang sehingga ke akhirnya.

"Disebabkan itu, mereka berhak untuk menamatkan saingan musim ini dengan kejayaan," kata Leornado.

Leornado turut melahirkan rasa simpati ke atas Palermo yang gagal dalam usaha mereka untuk merangkul kejuaraan pertama sepanjang beraksi dalam saingan Piala Itali.

"Palermo telah bermula dengan baik. Mereka beraksi dengan penuh bertenaga dan dilihat benar-benar mahu menjaringkan gol awal.

"Ketika itu, kami pula yang berasa sukar untuk mengimbangni corak permainan Palermo tetapi mujur kami berjaya menjaringkan gol pertama tepat pada masanya dan seterusnya menguasai perlawanan," jelas Leornado. - Reuters