Jejak sebenar X-Men


X-MEN: First Class akan membongkar sejarah asal usul mengenai pertelingkahan Magneto dan Profesor X.


BAGI peminat siri filem X-Men sejak ia mula ditayangkan di layar perak, kemudiannya diikuti X-Men 2 pada tahun 2003, X-Men: The Last Stand pada tahun 2006 dan X-Men Origins: Wolverine pada tahun 2009, sudah tentu tidak sabar menantikan kemunculan siri baru filem tersebut.

Bermula pada 2 Jun ini X-Men: First Class bakal ditayangkan serentak di seluruh pawagam Malaysia dengan aksi yang lebih menarik dan mencabar. Filem X-Men: First Class akan menceritakan asal-usul perbalahan antara Magneto dan musuh ketatnya Professor X.

Bagaimana mereka bermula sebagai sahabat dan kemudiannya menjadi musuh ketat dengan masing-masing mempunyai ahli-ahli yang memiliki pelbagai kuasa luar biasa.

Filem Melayu yang bakal menghiasi pawagam minggu ini pula ialah filem Toyol Nakal arahan Z. Lokman. Ia mengisahkan tentang seorang budak nakal yang digelar Toyol. Usianya baru menjangkau 13 tahun tetapi mempunyai banyak akal untuk melakukan kejahatan dan menyusahkan orang ramai.

Selain itu, untuk minggu yang berikutnya, filem hebat arahan Shamsul Yusof iaitu KL Gangster bakal disiarkan. Ia mengisahkan tentang dua beradik yang telah terjebak dalam dunia gangster.

Seorang bernama Malek dan seorang lagi bernama Jai. Si abang iaitu Malek telah dipenjarakan selama lima tahun akibat dikhianati oleh kumpulannya sendiri yang didalangi oleh Shark anak tiri kepada King, iaitu ketua kongsi gelap yang paling berpengaruh di KL.

Malek bagaimanapun setelah dibebaskan ingin mengubah persepsi kehidupan serta menjauhkan diri daripada kehidupan hitam sebagai ahli kongsi gelap.

Bagi filem Henry's Crime pula, ia mengisahkan tentang seorang pemungut tol yang tiada cita-cita dan berfikiran lurus.

Nasibnya malang apabila dituduh sebagai salah seorang perompak bank. Akhirnya, Henry meringkuk di dalam penjara. Semasa di penjara, dia bertemu dengan Max. Selepas itu, kehidupan Henry berubah 100 peratus.

X-men: First Class

Tarikh Tayangan: 2 Jun 2011

Genre: Aksi

Durasi: 2 jam 13 minit

Pengarah: Matthew Vaughn

Pelakon: James McAvoy, Michael Fassbender, Rose Byrne, January Jones, Oliver Platt dan Kevin Bacon

Sinopsis: Sebelum kedua-duanya bermusuhan, Profesor X dan Magneto pernah menjadi kawan rapat ketika di usia muda. Nama sebenar Profesor X adalah Charles Xavier, manakala nama sebenar Magneto adalah Erik Lehnsherr.

Perbalahan mula tercetus apabila kedua-dua mereka bertelagah ketika sedang berusaha menyelamatkan bumi daripada serangan bom nuklear.

Bom nuklear meletup angkara perbuatan jahat Hellfire Club, iaitu musuh kepada Charles Xavier, Erik Lehnsherr serta rakan-rakan mutan mereka.

Pada usia muda, kedua-dua mereka sudah menjalin persahabatan dengan beberapa orang mutan lain yang turut mempunyai kuasa luar biasa.

Setelah berbalah, Charles Xavier menubuhkan X-Men, manakala Erik Lehnsherr menubuhkan Broterhood Of Mutants lalu menukar namanya kepada Magneto. Bermula dari situlah, X-Men dan Brotherhood Of Mutants saling berbalah antara satu-sama lain.

Toyol Nakal

Tarikh Tayangan: 2 Jun 2011

Genre: Komedi

Durasi: 1 jam 33 minit

Pengarah: Z. Lokman

Pelakon: Joey Exist, Aaron Frando Alfred, Julia Ziegler, Abon dan Mr. Os

Sinopsis: Mengisahkan tentang seorang budak yang digelar Toyol. Usianya baru 13 tahun tetapi nakalnya sangatlah pelik. Dia sanggup meninggalkan bangku sekolah walaupun berasal daripada golongan berada.

Kawannya bukan seusia dengannya tetapi orang dewasa. Walaupun nakal hatinya mulia. Toyol yang lama meninggalkan kemewahan hidup pulang semula ke banglo tempat dia dibesarkan. Dia dapati suasana sudah berbeza. Ayahnya sudah kahwin baru selepas kematian ibunya beberapa tahun duhulu. Toyol tidak berpuas hati dan melakukan pelbagai perbuatan nakal bagi menunjukkan ketidakpuasan hatinya terhadap perkahwinan ayahnya itu.

KL Gangster

Tarikh Tayangan: 9 Jun 2011

Genre: Aksi

Durasi: 1 jam 21 minit

Pengarah: Syamsul Yusof

Pelakon: Syamsul Yusof, Aaron Aziz, Zizan (Raja Lawak), Ridzuan Hashim

Sinopsis: Mengisahkan tentang dua beradik yang telah terjebak dalam dunia gangster. Seorang bernama Malek dan seorang lagi bernama Jai. Si abang iaitu Malek telah dipenjarakan selama lima tahun akibat dikhianati oleh kumpulannya sendiri yang didalangi oleh Shark anak tiri kepada King, iaitu ketua kongsi gelap yang paling berpengaruh di KL. Malek kemudian mahu kembali ke pangkal jalan selpeas dibebaskan. Adakah dia mampu berbuat demikian atau memilih untuk membalas dendam?

Henry's Crime

Tarikh Tayangan: 9 Jun 2011

Genre: Komedi/Romantik

Pengarah: Malcolm Venville

Pelakon: Keanu Reeves, Judy Greer, Vera Farmiga, James Caan dan Peter Stormare

Sinopsis: Bekerja pada waktu malam sebagai pemungut tol di sepanjang lebuh raya sepi di Buffalo, New York, Henry dilihat seperti lelaki tanpa cita-cita, mimpi atau tujuan. Dia mendapat panggilan tiba-tiba pada waktu pagi dan didapati menjadi salah seorang pesalah rompakan bank. Daripada menyerahkan nama-nama penjahat sebenarnya, Henry menyerahkan diri untuk ke penjara. Semasa di penjara dia bertemu dengan Max yang merupakan penipu hebat. Berkawan dengan Max membuatkan karakter dan kehidupan Henry berubah drastik.