Lembaran baru sukan tanah air


MUHYIDDIN menyampaikan cenderahati kepada ketua kontinjen Wilayah Persekutuan ketika merasmikan Sukma ke-14 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.


PENGANJURAN temasya Sukan Malaysia (Sukma) pada setiap tahun membuka lembaran baru untuk kerjasama yang lebih dinamik antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri dalam memajukan sukan tanah air.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerjasama itu amat penting kerana sukan harus dibangunkan dari peringkat awal dan peluang yang sama rata mestilah diberikan kepada setiap rakyat untuk mengembangkan bakat dan kebolehan mereka.

“Dengan pendekatan baru Sukma secara tahunan ini, bukan sahaja kita bakal mempunyai kelompok atlet muda besar yang mewakili lebih daripada 40 jenis sukan tetapi juga mampu memastikan setiap persatuan sukan di peringkat negeri dan kebangsaan sentiasa bergiat aktif melaksanakan program pembangunan bagi penyediaan atlet dan pasukan masing-masing bertanding di pelbagai peringkat,” katanya semasa merasmikan Sukma ke-14 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tunku Imran Tuanku Ja’afar.

Muhyiddin berkata, pengelolaan secara tahunan Sukma yang bermula tahun ini akan membolehkan kerajaan negeri melaksanakan program pembangunan yang lebih tersusun yang melibatkan semua pihak seperti atlet jurulatih, pegawai teknikal dan pentadbir.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, konsep baru penganjuran Sukma itu mampu menyediakan peluang pertandingan secara saksama dan berterusan kepada semua jenis sukan di negara ini.

“Jika diambil kira penganjuran Sukma kali ini dan Sukma di Pahang tahun hadapan, sejumlah 43 jenis sukan dapat dipertandingkan, sekali gus mencapai matlamat kita untuk menyemarakkan pembangunan sukan tanah air secara menyeluruh tanpa meminggirkan mana-mana jenis sukan,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, temasya sukan terbesar di Malaysia itu berjaya melahirkan atlet-atlet No. 1 dunia seperti Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David.

“Hampir keseluruhan atlet elit yang mewakili negara sekarang ini dilahirkan menerusi Sukma.

“Sehubungan itu, Sukma perlu terus dijadikan medan utama bagi usaha-usaha mencungkil bakat-bakat baru untuk kita ketengahkan ke persada sukan antarabangsa,” katanya.

Sukma ke-14 yang berlangsung dari 2 hingga 12 Jun di sekitar Lembah Klang disertai 4,500 atlet dan pegawai mewakili 14 kontinjen dari seluruh negara.