Mengaku salah guna dokumen palsu

08/06/2011 8:24pm

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah urusan syarikat pengiklanan DD Mediaconsult Sdn Bhd, Norhan Manaf, mengaku bersalah terhadap 31 pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk memindahkan wang berjumlah RM1.9 juta dari akaun syarikat tersebut ke dalam akaunnya.

Bagaimanapun Hakim Mohammad Zulkifly Jusoh menangguhkan keputusan hukuman terhadap tertuduh, selepas pihak pembelaan memohon penangguhan itu ke esok.

Pihak pembelaan yang diwakili peguam D. Krishna memohon penangguhan itu atas alasan sekiranya mahkamah menjatuhkan hukuman pada hari ini, anak guamnya tidak boleh membuat apa-apa pembayaran.

"Masa sekarang sudah suntuk, jikalau apa-apa denda yang perlu dijelaskan tidak boleh dilaksanakan. Pihak kami memohon mahkamah untuk menangguhkan hukuman itu esok,” katanya.

Mengikut pertuduhan itu, tertuduh didakwa menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu ”permohonan untuk kiriman wang” bagi memindahkan wang berjumlah RM1.9 juta dari akaun syarikat tersebut ke dalam akaun milik tertuduh sedangkan tertuduh tahu ia adalah palsu.

Norhan, 42, didakwa melakukan semua kesalahan itu di Malayan Banking Berhad, Dataran Maybank, Jalan Maarof di sini antara Januari dan Mei 2010. – Bernama