Peniaga maut selepas tercampak keluar

08/06/2011 10:39pm

KANGAR Seorang peniaga maut apabila kereta yang ditumpanginya terbabit kemalangan jalan raya menyebabkannya tercampak keluar daripada kenderaan itu di kampung Kubang Gajah dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Arau, Supt Mohd Nadzri Hussain berkata, Chua Kok Seong, 36, yang patah tengkuk dan cedera di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta jenis Kelisa itu, Ngoi Chuan Tat, 29, cedera parah.

Kejadian berlaku kira-kira 1 petang, apabila kereta yang dipandu oleh Chuan Tat hilang kawalan lalu merempuh pokok jati di bahu jalan, manakala Kok Seong yang tidak memakai tali pinggang keledar tercampak keluar.

Mohd Nadzri berkata, semasa kejadian, kenderaan yang dinaiki kedua-dua lelaki itu sedang menghala Arau dari arah Kangar dan kemalangan dipercayai berlaku disebabkan kenderaan dipandu laju dan keadaan jalan licin berikutan hujan lebat.

Mayat mangsa yang beralamat di Alor Setar, Kedah, itu dihantar ke bilik mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan rakannya yang cedera menerima rawatan di hospital yang sama. Bernama