Usikan jiwa Kota Cahaya


SITI FADHILATUN bergambar di hadapan Eye On Perth.


BAGI yang tidak pernah menjejakkan kaki ke bahagian barat benua Australia, Perth sebenarnya menjanjikan pelbagai lokasi menarik dan juga pengisian aktivitinya. Pakar astronomi Amerika Syarikat, John Glenn pernah melabelkan kota Perth sebagai Bandar Bercahaya atau City of Light selepas beberapa kali berkunjung ke sana.

Memang benar! Jika diamati sendiri ternyata jarang sekali gemerlapan lampu yang menyiram bumi Perth dipadamkan terutamanya di pinggiran Tasik Swan.

Rata-rata pengunjung yang melihat bandar utama Perth dari seberang Tasik Swan yang memisahkan wilayah urban Perth di bahagian utara dan elemen nostalgianya di selatan, menyifatkan kota itu umpama tidak pernah tidur.

Salah seorang pengunjung dari Malaysia, Siti Fadhilatun Aisyah Abdul Nifa, 22, mengagumi ekspresi cahaya bandar terbesar di Australia itu.


PEMANDANGAN kota Perth yang gemerlapan pada waktu malam.


“Ketika melihat Perth dari tebing Tasik Swan dari Taman Sir James Mitchell pada waktu malam umpama melihat satu pesta yang tidak akan berakhir,” ujarnya yang turut berpeluang melawat Zoo Perth di bahagian selatan Perth.

Tambahnya, seri cahaya bandar itu turut disuntik mainan warna yang memancar ke mercu tanda Perth iaitu Menara Loceng Perth atau Perth Bell Tower.

Bentuk unik

Menara berbentuk unik setinggi 82 meter itu tersergam megah di lembah Tasik Swan dan sememangnya menjadi tumpuan pelancong di Perth.

Selain diiktiraf sebagai menara loceng keempat terbesar dan tertinggi dunia, Perth Bell Tower juga menyimpan sejarah silam tersendiri.

Ia mempunyai 18 buah loceng yang digantung secara sistematik untuk menghasilkan bunyi yang mampu berkumandang dalam radius besar. Dalam banyak-banyak loceng itu, terdapat sebuah loceng bersejarah iaitu yang berusia 461 tahun. Khazanah tahun 1550 itu mencatatkan berat 459 kilogram.

Menara itu juga menyimpan beberapa buah loceng St. Martin-in-the-Fields iaitu baki loceng daripada menara loceng di Trafalgar Square di London sebagai memperingati era pemerintahan Bicentennial di bahagian barat Australia itu.

Sejak menara yang direka oleh arkitek Hames Sharley itu dibuka pada 10 Disember 2000, lebih sejuta pelawat telah mengunjunginya.

Uniknya, pengunjung juga berkesempatan untuk merasai sendiri pengalaman membunyikan loceng di Bell Tower sambil menikmati panorama indah tasik Swan dan sebahagian kota Perth dari puncaknya.


SELAIN beruang koala dan kanggaru, wombat juga mempunyai daya penarik sebagai haiwan kebanggaan Australia.


Bersebelahan dengan monumen ikonik tersebut, tersedia sebuah lagi tarikan menarik iaitu Eye On Perth.

Hampir sama seperti struktur dan material Eye On Malaysia yang pernah dibina pada tahun 2008, pengalaman menaiki pusingan roda di Perth itu sedikit mengundang perasaan gayat namun pada masa yang sama amat mengujakan.

Haiwan ikon

Negara Australia pastinya tidak lari daripada ikon utamanya iaitu kanggaru. Selain Zoo Perth, Taman Hidupan Liar Caversham yang terletak tidak jauh dari pusat bandar Perth adalah lokasi strategik buat pencinta haiwan.

Pengunjung boleh bermesra dengan haiwan-haiwan seperti kanggaru, koala, wombat, llama, emu dan Kookaburra dengan bayaran masuk serendah AU$22 (RM70) bagi dewasa dan AU$9 (RM30) bagi kanak-kanak.

Pengunjung yang menggemari aktiviti santai boleh juga bertandang ke pantai Cottesloe yang sedikit terpisah dari pusat bandar Perth.

Jangan khuatir kerana sistem pengangkutan di ibu kota itu sememangnya tidak akan mengecewakan. Pengunjung boleh memilih sama ada untuk menaiki bas awam, kereta api, teksi, feri atau kereta sewa khas yang disediakan oleh syarikat konsesi Transperth.