Pemuda ‘membelasah’ karakter




MEMILIH dua jejaka ini sebagai penghias ada sebabnya. Bukan hanya kerana nama mereka sedang popular tetapi dua anak muda ini bijak bersuara.

Zahiril Adzim dan Beto Kushairy, dua nama dengan jiwa yang sedang bergelodak. Bukan didih pemberontakan membuta tuli tetapi pameran itu jelas dengan lakonan mereka yang jelas tampak daripada hati yang luhur.

Mendekati mereka senang dengan kata-kata kerana yang lahir daripada mulut jejaka-jejaka ini adalah bait-bait yang mempamerkan mereka anak muda berjiwa seni. Bukan pura-pura. Dua jiwa ini mengingatkan penulis terhadap Diego Luna dan Gael García Bernal, pelakon hebat antarabangsa yang ada elemen kecil-kecil cili api.

Malah hakikatnya, dua nama ini menjadi sebutan peminat lantaran lakonan berkesan dalam drama Juvana yang disiarkan pada setiap hari Isnin di saluran TV3. Sebuah drama yang mendapat rating tontonan ramai kerana keberkesanan dan faktor ‘wow’ dalam lakonan aktor-aktornya.

Zahiril menikus dalam watak Daim namun sedang menuju perkembangan watak. Beto pula penuh egoisme bergelar guru disiplin, Cikgu Ariffin. Ada hitam dan putih dalam warna-warna karakter berkesan ini.

Zahiril masih tersepit

“Saya ini pelacur bakat,” tegas jejaka dengan nama Zahiril Adzim atau senang disapa Bob bersuara. Jawapan ini meluncur keluar setelah ditanya tentang perjalanan kariernya bertunjang predikat aktor yang masih dianggap keras.

“Saya mula berasa diterima oleh khalayak pada tahun lepas. Rasa perjalanan agak meluncur dengan baik. Namun di sebalik rasa syukur diterima kerana bakat, ada perkara-perkara yang terpaksa saya lakukan atau terima bukan atas kehendak hati tetapi kerana tuntutan hidup,” ujarnya tersenyum menjelaskan bahawa ada karya-karya yang dilakonkan atas faktor kewangan.

“Ada teman-teman teater marah apabila saya keluar dengan produk yang kurang mereka senangi. Walaupun bergelar anak seni, keperluan hidup perlu dipenuhi. Ada perkara yang perlu dibayar dengan wang dan akhirnya mereka faham,” luahnya apabila ada kerja-kerjanya menjadi persoalan rakan-rakan. Bukan kemahiran lakonan tetapi kerana naskhah yang dirasakan kurang bersesuaian.

“Tahun ini saya perlu melipatgandakan kerja. Ganda 10 kali kerana bakal berdua pada November 2011 ini,” rujuk Bob terhadap pernikahan yang bakal dilangsungkan setelah mengikat tali pertunangan dengan pelakon Shera Aiyob pada 1 Mei lalu.

Jiwanya masih mahu meneroka zarah-zarah seni yang bertaburan di pentas teater. Itu kecintaannya. Namun dia tidak dapat menolak jika realiti teater, lapangan cintanya itu kadangkala kurang membawa imbuhan yang tidak berkadar rata dengan keperluan dunia, wang ringgit.


KEDUA aktor ini membawa keberkesanan watak yang berbeza dalam drama bersiri tontonan ramai. Juvana.


“Saya tersepit, tahu realiti bayaran untuk teater agak rendah dan kadang kala tiada langsung imbuhan. Tapi itu cinta saya dan tempat saya banyak belajar pelbagai perkara yang tidak diperoleh di set. Itu perjuangan. Sedih apabila kadangkala persembahan teater perlu dibatalkan kerana tiada penonton dan itu masih terjadi,” jelasnya tentang teater yang dianggap sebuah pengisian jiwa dan pembaik pulih bakat lakonan.

Sebagai pelakon yang masih hijau tapi dilihat melemparkan aura merah tanda semangat buat khalayak, dia berkongsi cerita. Bagaimana suara-suara anak muda baru ini masih belum mahu dikongsi. Masih dianggap angin lalu oleh sesetengah pihak.

“Sukarnya apabila dilabel pelakon baru apabila dalam banyak segi, masih ditindas. Dikecewakan dalam banyak segi. Artis ternama punya ruang untuk memilih dalam bab jadual tetapi kami harus mengikut. Saya telan ini semua atas rasa duduk di tempat anak tiri,” bukan rungutan oleh Bob tetapi suara yang dikeluarkan tatkala ditanya kesukaran dalam laluannya kini.

Sebagai penyelesaian, dia kini lebih gemar bersuara. Bob tahu bahawa dia harus ada ruang untuk menyatakan pendirian dan tempatnya. Harapannya, fenomena anak tiri ini bertukar rentak dan pembahagian hak sama rata berlaku dalam produksi.

Tahun ini, Bob bakal menerobos kacamata khalayak dengan karyanya. Dia bakal muncul dalam filem Tolong Awek Aku Pontianak yang bakal muncul 7 Julai ini di pawagam. Berpasangan dengan Sazzy Falak dan Liyana Jasmay.

Dia juga sedang menunggu kemunculan filem Ada Sesuatu Yang Tertinggal, filem yang menemukan dirinya dengan cinta hatinya, Shira. Beratur lagi dua buah filem buat tontonan iaitu Klip 3GP dan Bunohan.

Tidak hanya itu, Bob sempat bersuara, mahu menjadi pengarah satu hari kelak. Didiamkan dahulu hasrat hati. Dia tidak mahu gelaran hanya sekadar sebutan.

“Ramai sangat yang cakap mahu jadi pengarah. Saya tidak mahu hanya sekadar sebutan, tetapi mahu buktikan,” ujarnya yang bakal meluncurkan novel tulisannya yang bertajuk Bogel Menuju Tuhan di Annexe, Pasar Seni pada 18 Jun ini.

Beto jaga disiplin

Nama Beto ini sedang enak dipuji khalayak. Satu-satu karyanya mendapat perhatian dan melahirkan pertanyaan terhadap aktor ini. Dia bermula sudah lama cuma akhir-akhir ini dia memikat selera dan mata.

Sinar Beto mula dikesan pengutus gelombang saat muncul dalam drama Warkah Terakhir: Rosli Dhoby, Apa Dosaku: Sybil Kathigasu, Geng Surau dan telefilem Kashaf Imani. Dia kemudian memanjangkan ingatan khalayak terhadap skil lakonannya melalui drama Cita dan Cinta serta Juvana.

Ujar Beto, kini jadualnya semakin padat dengan susunan drama dan dia bersyukur dengan rezeki yang datang. Dia kini sedang sibuk dalam lokasi penggambaran drama Wasiat bersama Sara Ali dan Farid Kamil. Namun di sebalik rezeki yang semakin senang bergolek di kakinya, dia menyusun dan masih menegakkan pendirian seorang Beto.

“Saya lebih selesa mengambil satu naskhah pada satu masa. Saya mahu memberi konsentrasi dan masuk dalam karakter. Enggan ‘switch on and off’ sekelip mata kerana terlalu mengejar banyak tugasan,” senyumnya yang hadir bersama isteri tersayang.


BETO (kiri) dan Zahiril merupakan dua aktor yang kini dilihat berlandaskan bakat dan kecintaan terhadap seni dan bukan faktor komersial semata-mata.


Meneruskan bicara pendiriannya, dia sedikit serius:

“Saya tidak mahu ambil risiko datang lambat dan menyusahkan orang lain. Saya mahu jaga disiplin.”

Tegas Beto, walaupun khalayak mungkin nampak kini dia sedang rancak di kaca televisyen, dia tetap dalam sisi selektif.

“Saya memilih untuk bekerja dengan siapa, pasukan kerja, pengarah mahu pun pelakon. Ini bukan bermaksud saya demand atau sombong tetapi kerana saya tetapkan faktor kualiti.

“Saya mahu mendidik khalayak dengan lakonan saya. Jadi saya perlu tahu dengan siapa saya bekerja. Watak yang saya bawakan perlu ke arah membina minda khalayak,” ujarnya tentang moral dan mentaliti sesebuah karya terhadap khalayak.

Pemilik nama Nurkusyairy Zakuan Osman ini mengaku gemarkan karakter yang berlandaskan cerita benar mahu pun sebuah watak yang mempunyai faktor berteraskan watak. Itu yang mahu diteroka dan diluahkan buat pandangan dan kacamata khalayak.

“Bagi saya, duit jatuh nombor dua tetapi yang penting ialah karya,” tegasnya yang menganggap tahun ini adalah tahun murah rezeki buat dirinya dan isteri.

Merentas minda selektif Beto, penulis bertanyakan pemilihan karakter yang mengena dengan jiwanya. Watak antagonis yang kemas dibawa dalam balutan skil lakonan seorang Beto.

“Watak jahat itu punya raga yang besar. Boleh buat macam-macam dan tidak terkongkong. Malah dalam filem Bara Jiwa arahan Osman Ali juga saya bawakan watak jahat tetapi tidak tipikal. Ada unsur realism,” petahnya.

Kembara dua anak seni ini sedang bermula. Ranjau pada satu sisi perlu dilalui atas dasar penerokaan terhadap perjuangan dan kecintaan yang sejati dalam seni. Mereka ini benar-benar pejuang seni yang bukan menadah curahan komersial semata, lebih dari itu simbahan jujur seni itu terpancar dari luhur karya mereka.