'Terima kasih Daudsu'


para pemain Terengganu meraikan kejayaan merangkul Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.


‘TERIMA kasih Daudsu Jamaluddin’.
Gara-gara tertanduk bola ke gawang sendiri, Daudsu membuka jalan kepada Terengganu muncul juara Piala FA 2011 setelah menewaskan Kelantan 2-1 pada aksi final penuh dramatik di Stadium Nasional Bukit Jalil yang berlarutan hingga ke masa tambahan malam tadi.

Ketika Kelantan sudah berada di ambang kemenangan hasil jaringan Nurul Azwan Roya pada minit ke-78, Terengganu berjaya menyamakan kedudukan ketika masa kecederaan berbaki lima saat menerusi gol sendiri Daudsu.

Dengan perlawanan dijangka sekali lagi akan berlarutan ke penentuan sepakan penalti buat tahun ketiga berturut-turut, pemain gantian, Ahmad Nordin Alias muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan Terengganu pada minit ke-108.

Kejayaan tersebut membolehkan Terengganu yang dibimbing Irfan Bakti Abu Salim merangkul kejuaraan kedua Piala FA setelah melakukannya kali pertama pada tahun 2000.

Manakala Kelantan yang dibimbing Datuk M. Karathu terus kempunan untuk menjulang Piala FA setelah percubaan kali pertama mereka pada 2009 dikecewakan oleh Selangor.

Beraksi di hadapan 85,000 penonton, kedua-dua pasukan mempamerkan rentak permainan seimbang dan saling berbalas serangan pada separuh masa pertama tetapi tiada banyak percubaan berbahaya terhasil.

Terengganu mendapat peluang terbaik pada minit ke-20 menerusi rembatan Abdul Hadi Yahaya dari dalam kotak penalti namun berjaya ditampan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Peluang terbaik Kelantan pula hanya hadir pada minit ke-40 tetapi percubaan Norshahrul Idlan Talaha dari sebelah kiri ditepis keluar penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli.

Bersambung babak kedua, kerancakan aksi pada enam minit pertama terganggu apabila lontaran mercun oleh penyokong Kelantan hampir terkena Sharbinee pada minit ke-51 dan permainan terpaksa dihentikan selama empat minit.

Hanya seminit selepas aksi bersambung, Joseph Kalang Tie melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti tetapi Khairul Fahmi tangkas menafikannya.

Pada minit ke-67, kesilapan Sharbinee menangkap kemas bola hampir dihukum penyerang gantian Kelantan, Ramzul Zahini Adenan tetapi sepakannya sempat dihadang keluar oleh Ismail Faruqi Ashari.

Akhirnya gol yang dicari Kelantan menjelma pada minit ke-78 apabila lorongan cantik pemain tengah, Shakir Shaari berjaya disudahkan dengan kuisan lambung oleh Nurul Azwan.

Sikap tidak berputus asa para pemain Terengganu berbaloi apabila mereka berjaya mendapatkan gol penyamaan pada saat-saat terakhir separuh masa kedua.

Rembatan penyerang Terengganu, Abdul Manaf Mamat cuba dikeluarkan Daudsu di atas garisan gol tetapi pemain pertahanan Kelantan itu sekadar tertanduk bola ke gawang sendiri.

Ia sekali gus memaksa permainan berlarutan ke masa tambahan selama 30 minit. Pada minit ke-108, Ahmad Nordin muncul wira Terengganu apabila merembat masuk gol kedua pasukannya untuk memastikan kemenangan 2-1.

Dengan kejayaan itu, Terengganu berjaya mendapatkan slot untuk beraksi pada saingan Piala AFC 2012. Kapten Terengganu, Mazuki Yusof dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

TERENGGANU: Sharbinee Allawee, Helmi Remeli, Mazuki Yusof (K), Mazlizam Mohamad, Zubir Azmi, Joseph Kalang Tie, Reeshafiq Alwi, Ismail Faruqi, Ashari Samsudin, Abdul Manaf Mamat, Abdul Hadi Yahaya.

KELANTAN: Khairul Fahmi Che Mat, Daudsu Jamaludin, S. Subramaniam, Farisham Ismail, Zairul Fitree, S. Chanthuru, Shakir Shaari, Badhri Radzi (K), Nurul Azwan Roya, Izuan Solahuddin, Norshahrul Idlan Talaha.

Pengadil: Nafeez Abdul Wahab.