MSSM unggul di kolam renang


RATU renang MSSM (dari kiri) Caroline Chan, Mak Ai Sin, Chris Tan Li Ling dan Angela Chieng bangga menunjukkan pingat emas yang mereka menangi dalam acara 4x100m gaya bebas wanita di Melaka semalam.


MAJLIS Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) terus mendominasi acara renang pada Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (Sipma) Keempat apabila mengutip enam daripada 10 emas yang dipertandingkan di Pusat Akuatik Hang Jebat, Melaka semalam.

Emas pertama MSSM disumbang oleh Caroline Chan dalam acara 50 meter (m) gaya lentang wanita dengan catatan 32.26 saat.

Boey Wen Teng dan Khaw Chan Hao menambah emas kedua dan ketiga MSSM apabila mereka mengungguli acara 200m gaya dada wanita dan lelaki selepas merekodkan masa 2 minit 52.54 saat dan 2 minit 35.16 saat.

Chris Tan Li Ling terus menceriakan kem MSSM apabila menyumbang emas keempat MSSM dalam acara 100m gaya bebas dengan catatan masa 1 minit 1.94 saat.

Lebih manis, catatan masa Li Ling itu juga berjaya memecahkan rekod kejohanan 1 minit 2.75 saat yang dicipta Hii Siew Siew juga dari MSSM pada 2007.

Emas kelima MSSM pula disumbangkan Amanda Pasaoa dalam acara 100m gaya lentang wanita dengan catatan masa 1 minit 11.12 saat.

Kuartet dari MSSM yang diwakili Caroline Chan, Angela Chieng, Mak Ai Sin dan Chris Tan tampil bertenaga apabila mencipta rekod baru kejohanan dalam acara 4x100m gaya bebas wanita sekali gus menyumbang emas keenam.

Majlis Sukan IPTS Malaysia (MASISWA) turut memenangi dua emas menerusi Teh Wie Pin dalam acara 50m gaya lentang lelaki (28.79s) dan 100m gaya lentang lelaki (1:02.81s) manakala dua lagi emas dirangkul Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) menerusi Clement David Leong dalam acara 100m gaya bebas (54.49s) dan kuartet 4x100m gaya bebas lelaki dengan catatan masa 3 minit 43.64 saat yang turut memecah rekod kejohanan yang dicipta MSSM pada 2005.

Selain renang, acara tenpin boling turut mempertandingkan dua pingat emas dalam acara Master Lelaki dan Master Wanita.

Pingat emas acara Master Lelaki dimenangi Fahmi Bahri Sulaiman dari MASUM dengan 1,710 jatuhan pin manakala Tengku Emanina Laily Tengku Zahri juga dari MASUM meraih pingat emas dalam acara Master Wanita dengan 1,571 jatuhan pin.

Dalam pada itu, acara hoki yang berlangsung di Stadium Hoki Bukit Serindit, Melaka menyaksikan MASUM menyapu bersih pingai emas yang dipertandingkan apabila memenangi acara hoki lelaki dan wanita.