Badan pinjaman PPR bakal direalisasi

12/06/2011 2:29pm

KUALA LUMPUR Penubuhan badan khas untuk memberi pinjaman kepada penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) yang tidak berkemampuan membeli unit yang mereka diami kini di peringkat akhir.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, kertas kerja mengenainya akan dibawa ke Kabinet Ogos ini bagi mendapat kelulusan kerajaan.

"Ini adalah cadangan jangka pendek yang dijangka dapat membantu kira-kira 24,000 pemohon yang kini menghadapi masalah pinjaman tidak diluluskan oleh pihak bank atas pelbagai faktor.

"Berbeza dengan bank, badan ini akan bagi sedikit kelonggaran dari segi syarat pinjaman dengan harapan ia dapat membantu pembeli yang kebanyakannya berumur 50 tahun ke atas memiliki rumah, katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama