Medan untuk sukan kurang popular

MUNGKIN tidak keterlaluan jika dikata- kan bahawa penganjuran temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-14 yang telah melabuhkan tirainya kelmarin dianggap sebagai berjaya.

Meskipun sebelum ini ada segelintir pihak menganggap penganjuran temasya sukan terbesar negara itu hanyalah satu pembaziran apabila diadakan setiap tahun, namun pihak penganjur, Majlis Sukan Negara (MSN) telah membuktikan sebaliknya.

Berdasarkan matlamat utama terhadap penganjuran Sukma kali ini, ia jelas sekali telah memberikan satu lembaran baru buat arena sukan tanah air.

Ini kerana, buat julung kalinya sukan bukan pilihan diberikan keutamaan untuk bertanding selepas tidak dipertandingkan pada temasya sebelum ini yang diadakan secara dwitahunan.

Edisi ke-14 kali ini menyaksikan sebanyak 19 acara dipertanding membabitkan atlet bawah 21 tahun (B-21) dan diadakan di 17 venue di sekitar Lembah Klang yang bermula 2 Jun lalu.

Variasi yang berbeza ini ternyata menyuntik nafas baru kepada pembangunan sukan bukan wajib yang sebelum ini agak ketinggalan apabila kurang mendapat tempat dalam penganjuran Sukma di negeri- negeri sebelum ini.

Malah, ia turut diakui oleh Ketua Penga- rah MSN, Datuk Zolkples Embong (gambar kecil) yang menganggap penganjuran Sukma yang pertama kali dianjurkan oleh pihaknya itu berjaya mencapai matlamat dan sasaran yang telah ditetapkan.

"Sukma kali ini kita dapat menyediakan tahap pertandingan yang berprestasi tinggi kepada semua sukan yang terpilih untuk dipertandingkan melibatkan penyertaan atlet B-21," kata Zolkples.

Tambah beliau, Sukma kali ini adalah sebagai permulaan terhadap pembangunan sukan-sukan baru seperti acara bola baling, mendayung dan berbasikal pada peringkat negeri.

Ini kerana, penganjuran kali ini memberi peluang kepada semua jenis sukan terutamanya sukan kurang popular untuk berkembang seiring dengan sukan wajib.

"Matlamat utama terhadap penganjuran Sukma adalah bagi mewujud- kan pembangunan yang lebih tersusun pada peringkat negeri.

"Sebagai contoh, Terengganu berjaya mengatur sendiri program pembangunan atletnya melalui kerajaan negeri tanpa bergantung sepenuhnya kepada pihak MSN," tambah Zolkples yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sukma ke-14.

Kenyataan Zolkples itu ada kebenarannya apabila Terengganu kini dilihat menjadi kuasa baru dalam arena sukan negara selepas sekali lagi dinobatkan selaku juara keseluruhan apabila membawa pulang 30 pingat emas, lapan perak dan 12 gangsa.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan negeri Pantai Timur itu berjaya memperta- hankan gelaran juara yang dimenangi mereka dalam dua edisi sebelum ini iaitu pada 2008 selaku tuan rumah dan 2010 di Melaka.

Pencabar terdekat Terengganu, Selangor menamatkan temasya kali ini di tempat kedua apabila meraih 26 pingat emas, 18 perak dan 28 gangsa, diikuti Johor dengan 21 pingat emas, 20 perak dan 12 gangsa.

Sementara itu, atlet kanu Johor, Ahmad Shafie Abdul Jabar dan pelumba basikal trek Perlis, Ju Pha Som Net masing-masing dinobatkan selaku atlet lelaki dan wanita terbaik Sukma ke-14 berdasarkan pencapaian mereka sepanjang temasya tersebut berlangsung.

Shafie layak bergelar atlet terbaik selepas kejayaannya menyumbangkan tiga pingat emas, satu perak dan satu gangsa buat kontinjen Johor.

Ju Pha yang merupakan pelumba pelapis kebangsaan pula tampil cemerlang apabila mengutip empat pingat emas dan satu pingat perak untuk merangkul gelaran atlet wanita terbaik.

Seramai 4,500 atlet dan pegawai mewakili 14 kontinjen dari seluruh negara, mengambil bahagian dalam 19 sukan pilihan yang dipertandingkan di venue sekitar Lembah Klang dan Kompleks Sukan Nasional, Bukit Jalil.

Pahang bakal menjadi tuan rumah bagi Sukma edisi ke-15 tahun depan dan ia merupakan kali kedua negeri Pantai Timur itu menjadi tuan rumah selepas kali pertama pada 1996.

Mengenai rungutan penyokong yang tidak dapat mengi- kuti perjalanan temasya kali ini menerusi siaran langsung di stesen telivesyen tempatan, khususnya di Sabah dan Sarawak, ia bukanlah silap penganjur.

Sebenarnya tidak timbul pemegang hak eksklusif untuk siaran televisyen pada temasya kali ini, cuma RTM dan TV3 tidak mengambil inisiatif untuk menyiarkannya.

Saluran sukan berbayar, Astro Arena telah mengambil langkah positif untuk menyiarkan temasya kali ini secara langsung.

Selepas menerima rungutan penonton di Sabah baru-baru ini, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim memberi respons agar hak eksklusif itu tidak dimonopoli oleh satu pihak sahaja.

Sebaliknya, Sukma kali ini tidak melantik mana-mana pihak sebagai pemegang hak eksklusif tetapi dua stesen tele- visyen tempatan tidak mengambil inisiatif untuk menyiarkannya.