APM, di antara telus dan syok sendiri


AMIN (enam dari kiri) dan Didie (empat dari kiri) pada sidang akhbar majlis Anugerah Planet 2011 di Hard Rock Cafe baru-baru ini.


SELEPAS tidak berlangsung pada tahun lalu, Anugerah Planet Muzik (APM) yang merupakan majlis untuk mengiktiraf karya seni muzik serumpun dari Malaysia, Indonesia dan Singapura kembali lagi pada tahun ini.

Kali ini, APM bakal diadakan di Max Pavilion Singapore Expo, Singapura pada 15 Julai depan meskipun ramai yang menyangka majlis anugerah yang mula diadakan pada tahun 2000 itu telah berkubur.

Alasan pihak penganjur, APM yang sepatutnya diadakan di Malaysia pada tahun lalu kerana mengikut giliran penganjuran gagal diadakan disebabkan kekurangan bajet dan masa yang tidak mencukupi untuk persiapan.

Justeru, atas alasan yang diberikan itu jelas menunjukkan APM semakin hilang prestijnya kerana ia hanyalah sebuah majlis anugerah yang diadakan jika pihak penganjur iaitu Beyond Events Sdn. Bhd. mempunyai cukup wang dan masa, bermakna ia bukan acara wajib setiap tahun.

Pada sidang akhbar APM 2011 di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini telah timbul keraguan apabila merujuk kepada senarai calon-calon yang tersenarai di peringkat akhir.

“Segala urusan mengenai pencalonan adalah di luar bidang kuasa kami, kerana ia dipilih oleh panel hakim yang dilantik.

“Malaysia dan Indonesia diwakili oleh empat orang juri manakala Singapura pula empat orang juri untuk menilai setiap album yang dihantar untuk pencalonan,” kata Amin.

Keraguan tetap timbul apabila dua penyanyi hebat Malaysia, Yuna dan Mizz Nina tidak masuk senarai akhir, sedangkan umum mengetahui di tahap manakah mutu dan kualiti album kedua-dua mereka.

“Yuna dan Mizz Nina tidak menghantar album mereka untuk dicalonkan dalam APM 2011. Kami tidak mengehadkan mana-mana penyanyi untuk menghantar penyertaan, malah kami turut membuka peluang sama rata kepada semua penyanyi yang bernaung di bawah syarikat rakaman mahupun bergerak secara indie,” jelas Amin.

Buat pertama kalinya APM yang cukup sinonim dengan Aznil Nawawi wakil pengacara dari Malaysia, namun kali ini tugas Aznil bakal diambil alih oleh pelakon dan pengacara Didie Alias, yang kali ini bakal digandingkan bersama pengacara Singapura Fiza O dan Adi Rahman.

“Saya tidak sangka akan dipilih menjadi pengacara anugerah besar seperti ini sedangkan dalam negara sendiri pun saya hanya mengacarakan program televisyen sahaja dan majlis makan malam sahaja.

“Pertama kali diberitahu akan menjadi pengacara APM oleh Amin, saya terus terbayang wajah Aznil. Gembira saya bukan kepalang, hampir seminggu jugalah saya rasa macam saya bermimpi. Orang sudah beri peluang, saya akan gunakan sebaik mungkin,” ulas Didie.

Barisan penyanyi yang akan membuat persembahan pada malam APM 2011 dari Malaysi ialah Datuk Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Ning Baizura, Shila Amzah, Ana Raffali, Faizal Tahir, Ajai, Amanda Imani, Hafiz, Atila dan Loq. Wakil dari Indonesia pula ialah Melly Goeslow, Rossa, Afgan, dan Sandy Sandhoro. Singapurapula menampilkan Sleeq, Hady Mirza dan Sezairi Sezali.

Secara keseluruhan terdapat 16 kategori yang dipertandingkan dan satu Anugerah Khas Planet Muzik.