Choi cetus fenomena Susan Boyle


CHOI mahu mengubah nasibnya untuk menjadi insan berjaya.


SUNG-BONG CHOI tidak pernah menyertai uji bakat sebelum ini. Namun, dia nekad untuk mengubah kehidupannya dengan menyertai rancangan realiti Korea’s Got Talent.

Secara zahirnya, tiada apa yang istimewa pada remaja lelaki berumur 22 tahun itu. Dia tidak kacak bahkan seorang yang pemalu.

Tetapi di sebalik penampilan biasa itu, Choi ada kisah dan kelebihan sendiri sehingga membuatkan orang lain kagum dan terpegun.

Dalam rancangan yang disiarkan di stesen televisyen Korea Selatan itu, Choi memberitahu bahawa dia pernah tinggal di rumah anak yatim pada usia tiga tahun.

Akibat tidak tahan dibuli, dia melarikan diri dua tahun kemudian dan tinggal di jalanan sambil berniaga gula-gula getah dan air minuman.

“Saya hidup macam lalat selama 10 tahun,” katanya di hadapan penonton dan juri rancangan itu.

Choi yang hidup sebatang kara berkata, dia ingin bebas daripada perangkap kenangan silam yang menyedihkan.

“Saya tidak menaruh keyakinan pun untuk menyertai pertandingan ini. Saya hanya mahu menjadi seperti orang lain.

“Saya tidak pandai menyanyi, tetapi berasa seperti menjadi orang lain apabila menyanyi,” katanya.

Dia yang tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang nyanyian memukau seluruh dewan sehingga ada yang menitiskan air mata apabila dia melontarkan suara.

Ramai yang berpendapat dia bakal mengembalikan fenomena peserta Britain’s Got Talent, Susan Boyle yang menyertai rancangan itu pada tahun 2009.

Choi menyanyikan lagu Itali berjudul Nella Fantasia baru-baru ini.

Sebahagian rakaman rancangan tersebut yang dimuat naik ke laman YouTube ditonton sebanyak hampir enam juta kali.