Rajagobal sudah ada bayangan


RAJAGOBAL (kiri) boleh menarik nafas lega selepas mengenal pasti siapa yang bakal berada dalam kesebelasan utama menjelang aksi menentang Taiwan Rabu ini.


JURULATIH kebangsaan, Datuk K. Rajagobal sudah mempunyai bayangan kesebelasan utamanya untuk aksi pertama pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Rabu ini.

Apa yang melegakan Rajagobal, hanya tiga daripada 30 barisan pelatihnya kini masih mengalami kecederaan iaitu Norshahrul Idlan Talaha, Abdul Hadi Yahaya dan Shahrizal Saad.

Manakala tiga pemain yang sebelum ini cedera iaitu Aidil Zafuan Radzak, S. Chanthuru dan Syed Adney Syed Hussein sudah kembali beraksi ketika perlawanan ujian menentang Harimau Muda A di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam kelmarin.

"Perlawanan ini memberi ruang buat pemain yang baru pulih ini mencari keyakinan. Jika saya tidak mencuba mereka, pada aksi sebenar nanti kita tak boleh buat keputusan yang boleh membawa padah.

"Cuma saya harap Abdul Hadi dapat pulih segera. Dia mengalami kecederaan belakang iaitu di bahagian pinggangnya," kata Rajagobal ketika ditemui Kosmo! selepas perlawanan malam kelmarin.

Pada perlawanan itu, skuad kebangsaan mendahului menerusi jaringan Baddrol Bakhtiar seawal minit ketiga sebelum V. Kavi Chelvan menyamakan kedudukan buat Harimau Muda A pada minit ke-43.

Skuad kebangsaan menambah dua lagi jaringan pada babak kedua menerusi Ahmad Fakri Saari pada minit ke-72 dan tandukan K. Sasikumar pada minit ke-84.

Sasikumar, 22, yang merupakan penjaga gol diturunkan oleh Rajagobal sebagai penyerang menggantikan Mohd. Safee Sali pada 10 minit terakhir kerana pada perlawanan itu jurulatih berkenaan hanya menggunakan Nasril Nourdin dan Syed Adney untuk menjaga gawang.

"Saya boleh katakan sudah ada bayangan untuk kesebelasan utama menentang Taiwan pada Rabu ini.

"Tapi, masih ada dua atau tiga hari lagi sesi latihan yang perlu kami harungi dan saya tak boleh buat keputusan terlalu awal sekarang. Saya masih mahu melihat kombinasi sesuai.

"Saya sedar kita tak mempunyai perlawanan persahabatan kompetitif menjelang pertemuan dengan Taiwan. Jadi kita perlukan satu momentum.

"Saya gembira kerana Harimau Muda A tetap memberikan rintangan baik dan kesukaran kepada para pemain kebangsaan pada perlawanan ini (kelmarin)," jelas Rajagobal.

Biarpun tidak menurunkan beberapa tonggak utama seperti Gary Steven Robbat, Wan Zack Haikal Wan Nor, Irfan Fazail dan Fandi Othman yang baru beraksi menentang Lebanon pada Khamis lalu, barisan simpanan Harimau Muda A tetap tampil bersemangat.

Khairul Fahmi Che Mat, Mahali Jasuli, Muslim Ahmad, Fadhli Shas dan K. Gurusamy pula telah pun memasuki kem skuad kebangsaan tetapi hanya Mahali diturunkan pada aksi malam kelmarin.

Berbalik kepada gandingan serangan yang bakal digunakan pada aksi menentang Taiwan pada Rabu ini, Rajagobal berkata, dia mungkin akan menggandingan Safee dengan Baddrol atau Safee dengan Fakri.

"Pada babak pertama, saya gandingkan Safee dengan Baddrol sementara Fakri saya minta jurulatih Ong Kim Swee gunakan dia untuk mengetuai serangan Harimau Muda A.

"Tapi pada babak kedua, Fakri beraksi pula untuk skuad kebangsaan bergandingan dengan Safee dan dia berjaya menjaringkan satu gol. Fakri baru pulih dan menunjukkan kesungguhan tinggi.

"Bagi Safee pula, biarpun dia tidak menjaringkan gol pada perlawanan ini, saya yakin dia akan menjaringkan gol apabila menentang Taiwan nanti," tegas Rajagobal.

Aksi kedua pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014 akan berlangsung di Taiwan pada Ahad depan (3 Julai).