Hasil inovasi dimartabat APICTA




SABAN tahun, semakin banyak inovasi kreatif yang dibangunkan untuk memudahkan lagi kehidupan seharian manusia.

Industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tidak terkecuali dalam merasai tempias pembangunan inovasi. Kemajuannya secara tidak langsung menyumbang kepada pertumbuhan dan kemajuan sesebuah negara.

Pada masa yang sama, ia turut melahirkan lebih ramai cerdik pandai dalam industri ICT sekali gus mengembangkan lagi modal insan negara.

Bagaimanapun, agak sukar bagi usahawan dan pelajar ICT itu memperkenalkan produk atau perkhidmatan mereka dengan lebih menyeluruh terutamanya bagi yang baru berjinak-jinak dalam bidang ini.

Justeru itu, sejak 11 tahun lalu, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) telah menganjurkan Anugerah Teknologi Maklumat dan Komunikasi Asia Pasifik (APICTA) untuk dijadikan platform terbaik kepada mereka.

APICTA yang mempertandingkan pelbagai kategori pada peringkat domestik dan antarabangsa dapat membantu penerima anugerah memperkenalkan produk ataupun perkhidmatan mereka di dalam negara malah berpeluang menembusi pasaran secara global.

Peluang perniagaan

Ia terbukti apabila sebuah syarikat pembangun, Free Alliance yang memenangi anugerah kategori Penyelidikan dan Pembangunan Terbaik peringkat domestik serta antarabangsa pada tahun lalu, berjaya menembusi beberapa pasaran luar negara.

Free Alliance yang membangunkan Rangkaian Pengesan Tanpa Wayar nuRF dan Sistem Pintar Tanpa Wayar turut merangkul kategori Start-up Terbaik peringkat domestik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fairuz Mohd. Azrul, berkata, kemenangan yang diperoleh melalui APICTA telah membuka peluang untuk mempromosi produk inovasi dan perkhidmatan syarikatnya dengan lebih meluas.

“Pengiktirafan tersebut telah memberi keyakinan kepada pelanggan-pelanggan untuk berurus niaga dengan Free Alliance yang baru ditubuhkan pada tahun 2008.

“Apabila memenangi anugerah tersebut, kami bukan sahaja mendapat pelanggan domestik tetapi berjaya menembusi pasaran luar negara seperti Australia, Indonesia, Singapura dan banyak lagi,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Sistem yang dibangunkan Free Alliance itu menggunakan protokol komunikasi dan algoritma tanpa wayar dalam mengesan peranti tanpa wayar bergerak serta perayauan.

Ia juga dapat membenarkan penggabungan data seperti suhu, pergerakan, kelembapan, pengiraan rekod inventori dan lokasi rangkaian tanpa wayar beroperasi dengan lancar melalui hab pusat pemprosesan.

Fairuz menambah, sistem itu boleh diaplikasi dalam pelbagai sektor termasuk perubatan, ketenteraan, swasta, pertanian dan banyak lagi.


PARA pemenang APICTA tahun lalu diraikan dalam majlis yang penuh gemilang.


Tambahnya, penyelidikan dan pembangunan juga telah dilakukan sepenuhnya oleh tenaga tempatan malah bahan dan teknologinya juga adalah hasil kerja anak Malaysia.

“Kami sangat berbangga kerana produk yang dibangunkan oleh anak tempatan dan menggunakan bahan negara mendapat pengiktirafan secara global,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Teknikal BSmart Technology Sdn. Bhd., Patrick Gan, berpendapat pengamal industri ICT perlu merebut peluang dalam menyertai APICTA.

“Apabila memenangi anugerah ini, peluang untuk menembusi pasaran antarabangsa lebih cerah terutamanya di rantau Asia Tenggara.

“Selain daripada itu, kita juga dapat mempelajari dan mengetahui sesuatu budaya luar apabila perlu membuat kajian serta penyelidikan untuk membentang kertas kerja pada peringkat antarabangsa,” katanya.

BSmart Technology Sdn. Bhd. telah memenangi kategori e-Logistik Terbaik peringkat domestik melalui projek Perkhidmatan Pemantauan Kargo Elektronik BSMART (b’eCMS).

Pendedahan berguna

Pasukan University College of Technology and Innovation (UCTI) yang dianggotai empat pelajar juga sependapat bahawa APICTA mampu memberi pendedahan kepada mereka untuk mendekati pengamal industri ICT dengan lebih dekat.

Pasukan yang diwakili Tan Jit Ren, 20, Wong Mun Choong, 23, Ker Jia Chiun, 19, dan Chan Wai Lun, 21, membangunkan projek Global Knowledge Reactor (GKR) merangkul kategori Projek Pelajar Terbaik.

Wai Lun memberitahu, dia dan rakan-rakan lain dapat mengetahui dengan lebih dekat mengenai industri ICT tempatan serta antarabangsa apabila menyertai APICTA.

Katanya, ia merupakan satu pengalaman tidak ternilai kepada mereka kerana bukan sahaja projek tersebut mendapat pendedahan malah ada pihak yang ingin memasarkannya.

“Projek yang mengambil masa lima bulan untuk disiapkan ini dibangunkan bagi memberi kemudahan pembelajaran secara elektronik.

“Ia membenarkan guru dan pelajar merasai pengalaman pembelajaran secara elektronik terutamanya yang berada di kawasan terpencil,” katanya.

Prospek pemasaran


Inovasi Global Knoeledge Reactor mampu membantu proses pembelajaran di kawasan terpencil. – Gambar hiasan


Sementara itu, Naib Presiden MDeC Niran Noor, berkata, anugerah APICTA adalah satu platform untuk para usahawan mengetengahkan produk dan perkhidmatan menerusi aplikasi ICT yang inovatif.

“Menerusi anugerah ini, bakal pemenang-pemenang akan menerima pengiktirafan bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga di peringkat antarabangsa kelak.

“Selain menggalakkan pembangunan industri ICT, anugerah APICTA juga mewujudkan peluang pemasaran bagi produk keluaran tempatan dan sekali gus membantu dalam usul kerajaan untuk menuju ke arah negara berpendapatan ekonomi tinggi,” ulasnya.

Pada tahun ini, penganjuran yang mendapat kerjasama Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom) itu akan mengetengahkan tema merangsang kreativiti dan kecemerlangan dalam ICT.

Kategori baharu turut diperkenalkan pada APICTA tahun ini iaitu kelestarian terbaik dan maklumat teknologi hijau.

Kesedaran mengenai alam sekitar secara global telah mencetuskan pengenalan kategori baharu ini dengan harapan ia dapat mempromosi aplikasi produk atau perkhidmatan ICT dalam melestarikan isu berkenaan.

Anugerah pada tahun lalu, mencatatkan penyertaan sebanyak 538 dalam 18 kategori manakala tarikh tutup penyertaan pada tahun ini adalah pada 16 Julai ini.

Untuk keterangan lanjut mengenai kategori dipertandingkan dan syarat penyertaan boleh melayari laman web www.mscmalaysia.my/apicta.