Lukis pemandangan di kepala katil




KEDIAMAN Norana Ghazali, 52, mewah dengan sentuhan kedesaan Inggeris. Manakan tidak, setiap sudut di rumahnya, tidak kira sama ada di halaman rumah, dapur, pintu bilik malah, di dapur sekali pun, sentuhan lukisan yang dinamakan seni dekoratif mendominasi ruang.

Kelekaan penulis menghayati setiap inci keunikan di rumah dikejutkan dengan sapaan dua wanita yang juga rakan baik Norana, Zaitun Ramli, 51, dan Aniza Khir Omar, 48. Ketiga-tiga mereka sebenarnya merupakan pelukis dekoratif yang aktif di negara ini.

Sememangnya pertemuan itu menjurus untuk bercerita tentang seni dekoratif yang menjadi keghairahan mereka sejak bertahun-tahun lamanya.

Tidak perlu disogok dengan banyak pertanyaan, Zaitun sudah bersedia dengan jawapan yang konkrit. Kepada yang baru hendak mengenali seni dekoratif, Zaitun menjelaskan, seni itu adalah merujuk kepada lukisan yang dicorakkan ke atas permukaan keras seperti kerusi, meja, tempurung, tikar mengkuang, kepala katil, dulang, pinggan, tin biskut, mangkuk tingkat dan banyak lagi material.

“Dalam hal ini, sebenarnya banyak barangan terbuang seperti tin atau mangkuk tingkat adalah elemen yang dimanipulasi dan ditransformasikan dengan sentuhan seni dekoratif yang akhirnya menjadi satu barang yang bernilai,” terang Zaitun kepada penulis.

Tambah wanita gigih itu lagi, kebanyakan barangan tersebut bukan saja boleh dijadikan sebagai perhiasan rumah malah, boleh dibuat sebagai hantaran mahu pun hadiah kepada orang tersayang.

Ketika kami bersembang, mata penulis melirik seketika ke arah Norana dan Aniza yang berada di dapur. Di sekeliling mereka dipenuhi pelbagai saiz berus, cat, bunga telur, meja, tin dan papan-papan lukisan yang masih basah dengan calitan cat.

Sejarah penglibatan

Saat berbual dengan tiga sekawan itu, berdasarkan gaya komunikasi mereka, penulis dapat merasakan mereka bukan sebarangan suri rumah.

Menyingkap latar belakang seorang demi seorang daripada mereka, ternyata telahan penulis tepat.

Norana misalnya adalah graduan dalam bidang Biologi dan merupakan seorang pendidik. Zaitun pula mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan elektrik dan pernah berkhidmat di sebuah syarikat terkemuka, manakala Aniza adalah bekas akauntan.

Apa yang mendorong wanita-wanita itu melepaskan kerjaya hebat mereka? Norana memulakan bicara dengan memberitahu kecintaannya terhadap seni ini bermula ketika beliau melancong ke Australia pada tahun 1999.


DAYA kreatif Norana terserlah apabila menterjemahkan idea seni dekoratifnya pada peti sejuk terpakai.


“Saya terpaut dengan keunikan seni dekoratif ini dan akhirnya saya memutuskan untuk mendalaminya malah, belajar daripada guru yang berbeza-beza,” katanya yang sudah 12 tahun terlibat secara langsung tetapi, masih berterusan meningkatkan skilnya dari semasa ke semasa.

Zaitun punya cerita yang sedikit berbeza. Dia meninggalkan kerjaya sebagai pengurus sumber manusia atas faktor untuk memberi tumpuan menjaga anak-anak.

“Sewaktu ‘kerjaya’ kedua inilah, saya mempunyai masa untuk menumpukan minat saya dalam seni dan kraf,” ujarnya.

Aniza yang sudah menceburi seni rakyat itu kira-kira 15 tahun pula berkata, semuanya bermula sekadar suka-suka tetapi, akhirnya menjadikan seni itu sebagai punca pendapatan sampingannya.

Tidak kira di mana dan bila mula jatuh cinta dengan seni dekoratif tersebut, mereka sepakat mengatakan bahawa cabang yang diterokai mereka merupakan satu terapi untuk mereka menenangkan jiwa.

“Setiap sentuhan dan calitan warna yang kemudiannya diolah menjadi objek sesungguhnya menggambarkan ekspresi perasaan dan kecintaan kami,” kata mereka sambil memberitahu saat melukis mereka memerlukan mood yang tenteram bagi menghasilkan sebuah karya yang ikhlas.

Berniaga atas talian

Sebenarnya, setiap seorang daripada mereka mempunyai kepakaran tersendiri dalam teknik melukis. Norana terkenal dengan kepakarannya dalam melakar bentuk ukiran yang tampak asli jika dipandang sekali imbas. Zaitun pula dikenali dalam kalangan pencinta seni tersebut dengan panggilan ‘ratu ros’. Ini kerana dia disifatkan antara pelukis dekoratif terbaik dalam menghasilkan corak dan motif berbentuk bunga ros.

Aniza yang merupakan ibu kepada empat cahaya mata dikatakan cenderung melukis lukisan pemandangan.

Dengan bakat yang ada tidakkah mereka mahu menjadikan seni yang dimulai sebagai hobi kepada bisnes berskala besar?

“Ya, kami memang ada terima daripada orang ramai tapi untuk pengetahuan, kami bertiga tidak mempunyai butik atau kedai kerana semua tempahan kami lakukan di rumah masing-masing,” akui ketiga-tiga wanita itu yang lebih senang dengan cara begitu.

Selain terbiasa melukis di atas cawan, meja, dulang, teko, tin dan bangku, saat ditanya apakah material yang paling mencabar yang pernah dilukis ujar Zaitun, dia pernah diupah untuk melukis atas sebuah almari dan kabinet dapur.


TIGA sahabat ini berazam mahu menjadikan seni yang terkenal di Eropah itu turut diminati oleh generasi muda di negara ini.


“Saya pula pernah diminta melukis pemandangan fantasi ke atas kepala katil, mencabar jugalah sebab mengambil masa yang lama untuk disiapkan,” kata Aniza.

Berkenaan dengan harga, ketiga-tiganya memberitahu, ia bergantung kepada corak atau bentuk material.

Namun, kepada pengikut dan peminat setia seni halus itu, harga bukan satu masalah.

Diminati generasi muda

Kata Norana, beliau gembira apabila cabang seni yang digemari mereka menjadi ikutan dan kegemaran ramai. Justeru, atas permintaan dan semangat untuk berkongsi ilmu, bukan saja Norana malah, Zaitun dan Aniza turut membuka kelas.

Penulis sempat mengikuti kelas anjuran Zaitun. Pelajar-pelajarnya bukan saja terdiri daripada orang dewasa tetapi turut diikuti oleh remaja.

Nor Zarifah Ismail, 17, misalnya memberitahu, dia memasuki kelas itu bukan sekadar mengisi masa lapang.

“Saya sebenarnya dikurniakan sedikit dengan bakat melukis dan saya berhasrat untuk mencuba seni dekoratif yang unik ini,” katanya yang sedang mendapat tunjuk ajar mempelajari membuat bunga ros mengikut peringkat demi peringkat.

Hal yang sama berlaku kepada Azlina Hamjah, 27. Eksekutif pemasaran itu memberitahu, sudah hampir setahun dia mengikuti kelas Zaitun dan telah berjaya menghasilkan empat buah projek.

“Selain kelas, saya banyak merujuk Internet, buku dan mempraktikkan ilmu yang diajar tanpa jemu untuk memantapkan kemahiran saya,” katanya.