Geisha meraih sukses


MOMO menyuntik elemen vokal buat kumpulan Geisha.


SELEPAS kejayaan album sulung Anugrah Terindah, grup terkenal dari Pekanbaru, Sumatera, Indonesia, Geisha kini tampil mempertaruhkan kelahiran album kedua mereka berjudul Meraih Bintang.

Sebelum ini, single mereka yang berjudul Jika Cinta Dia telah mengangkat nama kumpulan itu dan meraih populariti mega di stesen-stesen radio Indonesia sehingga kini.

Berusia lapan tahun sejak kumpulan itu ditubuhkan pada Disember 2003, pembikinan album kedua bersama 11 lagu baharu yang memakan masa selama sembilan bulan turut memperkenalkan dua single terbaharu - Cinta & Benci dan Remuk Jantungku.

Bagi vokalis Geisha, Momo yang merupakan satu-satunya bunga dalam kumpulan itu, tempoh masa yang agak panjang untuk proses pembikinan album kedua itu puncanya daripada kepadatan jadual persembahan bukan saja di Indonesia malahan di beberapa negara Asia.

"Bagi tujuan mempromosi album pertama dan kedua ini jadual kami sentiasa padat sehinggakan terpaksa mencuri sedikit waktu selepas setiap kali show untuk berbincang mengenai lirik dan irama lagu-lagu album kedua ini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album Geisha di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Genre muzik pop tetap menjadi landasan utama Geisha bergerak dalam industri hiburan di Indonesia, Hong Kong, Malaysia dan bakal melayarkan sayap ke Thailand tidak lama lagi.

"Album kali ini lebih matang dari segi muzik, vokal dan liriknya dan kehendak kami mahu membawa pendengar bersama mendalami maksud di sebalik setiap lagu," ujar gadis bermata bundar itu sambil ditemani empat rakan lainnya.

Tambahnya, keistimewaan album grup Geisha yang bernaung di bawah Musica Studio itu juga terletak pada penceritaan yang diselitkan di sebalik beberapa buah lagu termasuk kisah kontroversi Ariel Peterpan dan Luna Maya.

"Kelainan juga ditampilkan dalam album ini dengan menyelitkan cerita di sebalik beberapa buah lagu selain mengambil pandangan daripada peminat.

"Sementara, lagu Kerana Mu didedikasikan khas buat Ariel dan Luna Maya sekali gus membuktikan sokongan kami terhadap peristiwa yang terjadi kepada mereka," bicaranya.

Elemen cinta dan perasaan masih menjadi ruji lagu-lagu yang dibariskan dalam album Meraih Bintang. Misalnya menerusi komposisi lagu Pergi Saja yang menyuntik sedikit warna bersama manifestasi dentingan piano mengiringi bait-bait katanya.

Bagi yang gemarkan muzik yang bertempo sedikit rancak dan bertenaga, lagu Cukup Tak Lagi, Aku Bukan Mereka dan Ku Menyerah adalah hadiah terbaik.

Sesuai dengan tajuk album kedua Geisha, harapan mereka mahu meraih sebanyak mungkin peminat di Malaysia selain negara asal mereka, Indonesia.

"Kami ingin mendapat sokongan peminat yang menggemari konsep lagu yang kami berikan dalam industri muzik ini dan semoga mendapat maklum balas positif daripada pendengar," getus Momo mengakhiri bualan.

Geisha dianggotai oleh lima ahli iaitu Momo sebagai vokalis, Roby (gitar), Nard (bass), Dhan (keybord) dan Aan (drum).