Sepasang kekasih bawa heroin ditahan

02/07/2011 7:46pm

KUALA LUMPUR – Polis menemui dadah yang disyaki heroin bernilai RM115,000 daripada sepasang kekasih di Hentian Puduraya di sini dua hari lalu.

Dadah tersebut seberat 2.3 kilogram dirampas daripada pasangan tersebut yang disyaki pengedar dadah, sebaik mereka tiba dari negeri di sebelah utara dengan bas pada 8 malam.

“Pemeriksaan ke atas mereka menemui lima bungkusan dadah dipercayai heroin dengan anggaran berat 2,300 gram di dalam beg galas yang dibawa oleh lelaki tersebut,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, ACP Kang Chez Chiang kepada Bernama hari ini.

Pasangan tersebut dipercayai mahu mengedarkan dadah itu di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata, lelaki berkenaan berumur 25 tahun dan bekerja sebagai pemasang penghawa dingin dan mempunyai tiga rekod jenayah dadah manakala kekasihnya yang berumur 20 tahun bekerja sebagai jurujual.

Chez Chiang berkata, pasangan itu yang turut positif dadah kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama