Rock 2: Que buat penampilan istimewa


DUA sahabat, Amy lakonan Que Haidar dan Jijo (Khir Rahman) kembali ke lokasi Rock 2 yang sedang menjalani penggambaran di Taiping dan Ipoh, Perak ketika ini.


MINGGU ini temanya, minggu filem sebab dalam kepala Diva ini penuh dengan ceritera-ceritera filem. Ini satu lagi cerita belakang tabir yang masuk ke telinga Diva pasal kemunculan semula aktor handalan Malaya, Que Haidar dalam filem Rock 2 arahan Mamat Khalid.

Bila Que berlakon semula, Diva rasa ala-ala sirih pulang ke gagang pula, seronoknya sebab tahun depan, dapatlah Diva ubat rindu tengok Que di panggung wayang. Diva tertanya-tanya juga, Que sudah tarik balik keputusannya untuk bersara dari bidang lakonan? Que sudah kembali berlakon atau bagaimana?

Risik-risik, Diva dapat tahu bahawa kesudian Que untuk membuat penampilan istimewa dan muncul dalam Rock pun ada sebab-sebab tertentu. Pertamanya, sebab Rock itu sendiri sangat dekat dengan Que yang sebelum ini pernah bawa watak Amy dalam Rock yang pertama diterbitkan pada 2005. Keduanya sebab, abang Mamat sendiri dan ketiga sebab kawan-kawan rapat termasuklah, Khir Rahman serta ramai lagi yang sama-sama ada dalam Rock 2. Penampilan istimewa sahaja tau, bukanlah comeback!

Diva sedih tapi dalam hati, tetap berharap Que akan terbuka hati untuk terima lagi tawaran lain selepas Rock 2. Harap-harap Rock 2 akan meledak dan Que terus terbakar semangatnya untuk melahirkan karakter-karakter berkesan dan diingat ramai sebab Diva tahu, Que memang pelakon yang bagus.

Diva: Gara-gara 'Bersih', raksasa pun tak berani muncul. Konsert Raksasa Ramli Sarip dan Blues Gang terpaksa ditunda ke 1 Oktober nanti. Nyonya-nyonya yang beli tiket teater Mak Dara Nyonya pada 9 Julai juga pun sama, tengok hari lain ye!