Fara amatur teater




UMUM mengenali Fara Fauzana sebagai penyampai radio, pengacara dan pelakon drama serta filem. Namun, ramai yang tidak tahu kehebatan sebenar Farah adalah di pentas teater. Sejak sekolah lagi, Farah Fauzana Md. Fadzil, 30, atau nama komersialnya Fafau sudah terlibat dengan pementasan teater. Minatnya itu diteruskan apabila dia mengambil subjek elektif teater di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Namun, langkah ke dunia teater tidak kesampaian apabila rezekinya lebih ke arah penyampai radio. Lama benar minatnya itu dipendamkan sahaja di benak hatinya. Namun, semuanya menjadi kenyataan saat dirinya dilamar penerbit teater Siti Rohayah Attan penghujung Mei lalu. "Walaupun pernah berlakon drama dan filem tetapi berlakon teater adalah sangat berbeza. Saya memang suka teater dan pernah terlibat dalam teater semasa di sekolah lagi.

"Sehingga semasa di UiTM pun saya sanggup ambil subjek tambahan teater. Memang saya teringin benar berlakon teater selepas habis belajar dan jadikannya sebagai kerjaya tetapi saya tidak begitu yakin kerana suara saya serak dan kuat. Alhamdulillah rezeki saya ada dalam bidang teater. Saya dapat tawaran berlakon teater Mak Dara Nyonya pada akhir bulan Mei lalu. Penerbit teater iaitu Siti Rohayah atau Kak Roy menghubungi saya dan bertanyakan sama ada saya minat untuk berlakon teater.

"Saya yang ketika itu sedang melawat adik belajar di Amerika Syarikat terus bersetuju tanpa berfikir panjang," katanya ketika ditemui semasa sidang media teater Mak Dara Nyonya yang berlangsung di Hotel Quality, Kuala Lumpur. Fara juga dikatakan bersetuju berlakon teater Mak Dara Nyonya disebabkan watak yang dilakonkan di dalam teater tersebut terlalu berbeza dengan watak sebenarnya. "Saya setuju kerana watak yang bakal saya lakonkan adalah sangat berbeza dengan diri sendiri. Saya mahu mencabar diri melakonkan watak yang berbeza. Saya kena melontar dialog dalam bahasa Indonesia dan menggedik di atas pentas. Jujurnya saya tidak pandai menggedik, nasib baik pelakon-pelakon yang lebih senior di dalam teater seperti Norzizi, Sarimah dan Misha banyak memberi tunjuk ajar," katanya yang bakal menghasilkan program realiti TV sendiri.

Menjadi tanda tanya apabila Fara dikatakan telah melarikan diri semasa sesi latihan pertama teater Mak Dara Nyonya. Apabila diajukan soalan tersebut kepadanya, Fara mengaku melarikan diri disebabkan gentar dan takut dengan pelakon teater hebat Juhara Ayob. "Hari pertama latihan apabila nampak Juhara saya terus keluar. Dengan tiba-tiba saya jadi tertekan sebab semua orang tahu Juhara sangat hebat di pentas teater," katanya yang kemudiannya banyak menerima sokongan dan tunjuk ajar daripada Juhara dan pelakon-pelakon lain.

Program realiti


PERTAMA kali berlakon teater, Fara teruja kerana dapat berkongsi mengembangkan bakat lakonannya.


Menyentuh mengenai rancangannya untuk menerbitkan program realiti sendiri, Fara tidak mahu lagi menjaja perkara tersebut sebelum ia benar-benar terhasil. Fara juga tidak mahu mengulas lanjut saat ditanya sama ada program realiti milik syarikatnya iaitu Fafau Entertainment itu nanti menyerupai program Akademi Fantasia, Mentor atau program-program realiti lain yang sedia ada. Apa yang jelas, kata Fara program realiti itu nanti akan disiarkan di stesen Astro.

"Bukan Fara tidak mahu berkongsi lebih lanjut mengenai program realiti Fara, cuma ia belum sesuai lagi kerana buat masa ini ia masih dalam perancangan. "Tunggu masa sesuai dan program itu benar-benar sudah terhasil, maka Fara akan umumkan. InsyaAllah program realiti TV terbitan Fafau Entertainment itu nanti akan disiarkan pada hujung tahun ini di Astro," katanya yang bersyukur kerana rezeki datang tidak putus-putus sejak dia meninggalkan Melodi.

Kata Fara, masanya pada setiap hujung minggu juga kini dapat diisikan dengan aktiviti bersama keluarga, menerima tawaran pengacaraan majlis, berteater dan juga berniaga pakaian bersama rakan baiknya, Nurul Hana Che Mahazan atau Nana, 27, yang kini sudahpun bergelar penyampai radio Hot FM. "Kalau dulu, Nana terpaksa menjaga perniagaan pakaian kami seorang diri disebabkan saya terlalu sibuk. Kini, kami sama-sama boleh menjalankan perniagaan pakaian secara dalam talian. "Antara yang dijual adalah baju raya, baju T Fara dan Nana, jaket dan sebagainya," katanya mengenai perniagaan secara dalam talian yang dijual menerusi laman web www.faranana.com atau http://www.facebook.com/pages/ Faranana. Farah juga memberitahu bakal muncul dengan program baharu bersama Nana.