30 kanak-kanak, guru jadi tebusan


ANGGOTA polis membawa keluar murid-murid tadika selepas berakhir drama tebusan di Taman Sungai Abong Cemerlang, Muar semalam.


MUAR – Seramai 30 kanak-kanak dan empat guru di Pusat Jagaan Serikids, Taman Sungai Abong Cemerlang, Sungai Abong di sini berhadapan saat-saat cemas semalam apabila dijadikan tebusan oleh seorang penagih dadah selama hampir tujuh jam.

Lelaki berusia 30-an yang dipercayai kurang siuman itu bagaimanapun cedera parah ditembak polis dan meninggal dunia pada pukul 9.15 malam tadi ketika dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, lelaki itu dikatakan menceroboh pusat jagaan berkenaan yang berupa banglo dua tingkat pada pukul 9.15 pagi melalui pintu belakang bangunan berkenaan.

Katanya, sebaik berjaya masuk, lelaki berkenaan yang bersenjatakan sebilah parang dan tukul besi mengarahkan guru dan kanak-kanak terbabit diam jika tidak mahu dicederakan.

“Suspek kemudiannya mengunci kesemua tiga pintu pusat jagaan berkenaan dengan mangga yang dibawanya sebelum mengarahkan semua mangsa naik ke tingkat atas dan masuk ke dalam sebuah bilik,” katanya.

Jelasnya, polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 10 pagi.

“Polis cuba berunding dengan suspek mulai pukul 11 pagi hingga 3 petang dan ahli keluarganya iaitu bapa saudara, kakak dan adiknya turut datang memujuk suspek agar menyerah diri tetapi gagal,” katanya kepada pemberita.

Katanya, sepanjang rundingan, suspek mengemukakan beberapa permintaan yang tidak munasabah seperti sepucuk pistol dan peluru.

Jelasnya, polis mendapat petunjuk keadaan mangsa apabila seorang guru mencampak sekeping nota dari bilik berkenaan.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.