Eagle lonjak Airil

PUKULAN eagle pada lubang terakhir terus melonjakkan pemain negara, Airil Rizman Zahari untuk kembali merampas tampuk sebagai pendahulu pada saingan hari ketiga Kejohanan Golf Jemputan Masters Negeri Sembilan yang berlangsung di Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) semalam.

Chip dari jarak 20 meter di lubang par 5 terakhir terus masuk untuk menghasilkan eagle, sekali gus membolehkan Airil Rizman, bekas juara Terbuka Pakistan 2007 melakukan enam bawah par 66 untuk jumlah keseluruhan 13 bawah par 203.

Walaupun demam ketika beraksi, dia mampu membenam enam birdie di lubang tiga, lima, enam, 11 dan 15 selain dua bogey di lubang dua serta tujuh.

"Saya tidak berapa sihat hari ini (semalam) kerana demam tetapi saya mampu bermain baik berbanding semalam (kelmarin) dan eagle di lubang terakhir adalah yang terbaik," katanya.

Airil Rizman yang sepi tanpa sebarang gelaran sejak empat tahun lalu dan memulakan karier sebagai pemain professional pada 2002 berazam menamatkan badi itu dan memburu kejuaraan Masters Negeri Sembilan yang menawarkan hadiah bernilai RM500,000.

Kelebihan dua pukulan membolehkan Airil Rizman mengatasi saingan terdekatnya, Antonio Lascuna (Filipina), Danny Chia (Malaysia) dan Atthaphon Prathummanee dari Thailand apabila masing-masing terikat dengan 11 bawah par 205.

Ketiga-tiga pemain tersebut kini terikat di tempat kedua.

"Saya berpuas hati walaupun sekadar membuat empat bawah par 68 kerana yang penting saya bermain tanpa sebarang tekanan," ujar Lascuna yang pernah menjuarai Selangor Masters pada 2007.

Bagi pemain No. 1 negara, Danny Chia, dia turut lega dengan catatan empat bawah par 68 untuk jumlah keseluruhan 11 bawah par 205.

"Secara keseluruhannya, saya lega dapat mendekatkan diri dengan pendahulu. Walaupun ketinggalan dua pukulan di belakang Airil, saingan hari terakhir akan menjadi penentu," kata Danny.

Dia yang menjadi pemain negara pertama melepasi cut di Terbuka Britain 2010, berazam untuk tidak melakukan kesilapan pada saingan hari terakhir hari ini.

Seorang lagi pemain negara, Shaaban Hussin turut cemerlang apabila berkongsi kedudukan kelima selepas melakukan tiga bawah par 69. Dia kini mengumpul 10 bawah par 206.

Shaaban berkongsi kedudukan dengan bintang golf dari Bangladesh, Siddikur Rahman yang melakukan tiga bawah par 69.

Bagi pemain veteran negara, Mohd. Rashid Ismail yang bermain baik pada hari kedua apabila melakukan 66 pukulan, gagal meneruskan kecemerlangan apabila menamatkan saingan hari ketiga dengan catatan menyamai par 72.