Semua terminal bas kembali beroperasi

10/07/2011 8:01pm

KUALA LUMPUR — Perkhidmatan bas di tiga terminal bas iaitu Hentian Putra, Hentian Pudu Raya dan Hentian Jalan Pekeliling kembali beroperasi seperti biasa hari ini selepas ditutup sementara semalam.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Semenanjung Malaysia, Tajuddin Mohd. Yunus, berkata beliau dimaklumkan bahawa semua pengusaha bas mula beroperasi seperti biasa di terminal masing-masing.

Beliau berkata, perhimpunan haram di ibu negara semalam telah mengakibatkan ramai penumpang bas membatalkan perjalanan mereka pada saat akhir.

Bagi penumpang yang meneruskan perjalanan semalam pula terpaksa berhadapan dengan kesesakan luar biasa iaitu lebih empat jam dari tempoh perjalanan yang biasa, katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau juga dimaklumkan kebanyakan pengusaha bas tidak dapat menghantar penumpang ke destinasi yang ditetapkan dan terpaksa menurunkan penumpang jauh dari kawasan ibu negara.

"Bas tidak dapat masuk Kuala Lumpur, boleh sampai Rawang sahaja bagi perjalanan dari utara, penumpang terpaksa naik keretapi dari Rawang untuk ke destinasi mereka, dari Selatan tiada masalah, hentian terakhir di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Bandar Tasik Selatan,” katanya.

Tajuddin berkata, persatuan itu, yang dianggotai seramai 25 pengusaha bas, juga dimaklumkan bahawa anggota persatuan itu hanya dapat menyediakan lima ‘trip’ perjalanan masing-masing berbanding kebiasaan lebih 10 trip sehari. — Bernama