Tiga penyelidik USM ungguli NRIC 2011


PEMENANG NRIC 2011 menunjukkan hadiah yang dimenangi masing-masing di USM Pulau Pinang baru-baru ini.


SAINTIS MUDA. Bahan pemanis alternatif berasaskan sisa kelapa sawit hasil kajian tiga pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) dinobatkan sebagai penyelidikan terbaik pada Pertandingan Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan (NRIC) 2011 di USM, Pulau Pinang baru-baru ini.

Farahwahida Hairon, 23, Fazreen Amira Ismail, 23, dan Chong Meng Yeong, 24, yang merupakan pelajar tahun akhir Jabatan Kejuruteraan Kimia membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, piala dan sijil penghargaan.

Universiti Malaysia Terengganu turut melakar kejayaan apabila terpilih sebagai pemenang pingat emas bagi anugerah yang pertama kali diperkenalkan tahun ini iaitu Penyelidikan dan Inovasi Komuniti (CoRIC).

Turut cemerlang adalah Universiti Malaysia Pahang yang menerima Anugerah Rekacipta-Moto (Motorola), USM (Anugerah Teknologi Hijau Lestari), Universiti Malaysia Terengganu (Rekacipta dan Inovasi Terbaik) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Anugerah Polisi Impak Sosial).

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor USM (Hal Ehwal Pelajar dan Pembangunan), Prof. Datuk Omar Osman.