Tunisia cuba bangkit selepas revolusi


MENARA masjid di salah satu lorong petempatan di Tunis.


TIADA apa yang lebih buruk sehingga menjejaskan sektor pelancongan sesebuah negara selain daripada revolusi. Namun, Tunisia, kini bergelut untuk bangkit dan sanggup melakukan apa sahaja bagi mengembalikan kegemilangan sektor pelancongannya selepas siri kekalutan politik di sekitar negara-negara Arab termasuk yang terletak di benua Afrika.

Kempen-kempen pelancongan telah dilaksanakan secara agresif dalam mengurangkan kebimbangan pelancong terhadap negara itu.

Antara usaha terkini adalah sebuah iklan yang menunjukkan seorang wanita sedang diurut dengan tertera perkataan: 'Mereka kata di Tunisia, sesetengah orang menerima layanan mesra.'

Iklan-iklan itu kini terpampang di beberapa buah bas di sekitar London. Sistem kereta api bawah tanah di Paris turut memaparkan mesej iklan yang cenderung mengisahkan kemusnahan selepas revolusi dan tapak-tapak arkeologi di negara itu melalui tapak-tapak arkeologinya.

Pencipta kempen itu mahu meningkatkan kefahaman kelompok pelancong dengan menakrif semula tanggapan mereka mengenai keadaan sebenar di Tunisia selepas revolusi.

Menteri pelancongan negara itu turut memberi jaminan bahawa keadaan di Tunisia adalah selamat untuk pelancong-pelancong meskipun berada dalam kegawatan politik. Ia jauh lebih baik daripada Afrika Selatan.

Kempen-kempen agresif itu hadir tatkala industri pelancongan di negara itu kini terkapai-kapai untuk kembali bangkit selepas pergolakan yang berlaku.

Pelancong-pelancong dari Eropah sebelum ini pernah menjadikan Tunisia sebagai destinasi percutian mereka kerana terpesona dengan keindahan pantainya dan pelbagai tarikan yang ditawarkan.

Situasi itu sekali gus menjana pendapatan sektor pelancongan negara itu kepada 6.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan memberikan peluang pekerjaan kepada seorang daripada lima rakyat di negara itu.

Selepas kehadiran pelancong mula berkurangan, negara itu sekali lagi berhadapan dengan masalah yang berlaku terhadap jirannya, Libya.

Semangat kembara

Tidak hairanlah, Tunisia kini bergantung sepenuhnya kepada semangat pengembaraan para pelancong dari Eropah untuk memulihkan sektor utama ekonominya.


SOUK di sekitar Tunisia banyak menjual pelbagai jenis cenderamata popular seperti produk kaca, minyak wangi, dekorasi manik dan pasu tanah liat.


Suasana resort pesisiran pantai Tunisia, Yasmine Hammamet, umpama gambaran sekeping poskad pada musim panas dengan pasir pantai halus, kehangatan laut yang membiru dan rangkaian hotel mewah untuk menyambut kehadiran pelancong. Namun, ia kosong tanpa penghuni.

Pelancong-pelancong dari Eropah, Algeria dan Libya yang telah lama meninggalkan bandar Hammamet yang terletak di barat laut Tunisia itu sedangkan ia masih selamat untuk dilawati.

Situasi itu sekali gus menyaksikan musim kehadiran pelancong yang terburuk di dalam sejarahnya, ketika kebanyakan bandar pesisiran pantai di bahagian utara Afrika turut terjejas sejak Januari akibat revolusi menentang presiden republik itu.

"Ia lebih buruk daripada sebuah malapetaka," kata Kamel ben Abdallah.

Pengurus hotel bertaraf tiga bintang itu lazimnya menjana pendapatan sebanyak 65 peratus pada musim panas ini. Biarpun terdapat diskaun sebanyak 40 peratus daripada harga asal, kebanyakan bilik di hotelnya masih kosong.

Keadaan itu, turut memaksa Ben Abdallah untuk mengurangkan jumlah kakitangannya kepada 40 orang berbanding 100 orang pada musim yang sama tahun lalu. Dia juga tidak lagi mengambil pekerja-pekerja sementara.

Pengurus hotel itu menyalahkan media yang menjadi punca 'kerugian luar biasanya'. Kesan laporan yang menggambarkan negara itu sebagai 'sangat tidak stabil' sejak Januari lalu amat merugikan rakyat tempatan dan pengusaha pelancongan.

Pejabat Pelancongan Kebangsaan pada Selasa lalu turut mengumumkan lebih 3,000 orang kehilangan pekerjaan dalam sektor pelancongan negara itu tahun ini.

Resort sepi

Kehadiran pelancong ke negara itu juga kini merosot kepada 39 peratus. Begitu juga dengan pendapatan yang menjunam sebanyak 51 peratus.

Biarpun resort Yasmine Hammamet kelihatan sepi, ia sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelancong. Diskaun separuh harga yang ditawar diharapkan dapat menarik pelancong ke situ pada tahun ini.


Budaya santun warga tempatan menjadi tarikan ramai pelancong ke Tunisia.


Walaupun terkenal dengan pelbagai festival sebelum ini, resort peranginan itu kini sunyii. Peniaga-peniaga, pembuat kraf tangan dan pemandu pelancong kini bergelut untuk menjana pendapatan.

"Unta saya kini menjadi gemuk kerana ia langsung tidak bergerak," kata Hichem, yang terdesak mencari pelanggan yang mahu mendapatkan perkhidmatan menunggang unta di sekitar pelabuhan.

Di bahagian pantai resort yang indah itu kelihatan banyak kerusi yang kosong. Saber, seorang pemuda 23 tahun menghabiskan masa harian dengan menunggu di atas salah sebuah daripada 10 basikal miliknya yang dihias indah dengan bendera pelbagai negara.

"Sepanjang sehari suntuk berada di sini, saya tidak mampu menyewakan basikal biarpun memberi potongan harga sebanyak lima dinar (RM10.80) bagi tempoh setengah jam.

"Beberapa pelancong kelihatan menjauhi kami dan berkurung di dalam hotel mereka," keluhnya.

"Mereka tidak lagi keluar pada waktu malam kerana bimbang diserang. Terdapat banyak khabar angin yang tersebar sehingga menakutkan mereka," terang Laila, seorang peniaga yang merancang menutup perniagaannya pada bulan hadapan.

Faktor keselamatan

"Saya dinasihatkan supaya tidak keluar malam tanpa berteman," kata Florence, seorang pelancong dari Perancis yang enggan meninggalkan hotel penginapannya atas faktor-faktor keselamatan.

Pada minggu lalu, pihak Kementerian Dalam Negeri republik itu mengumumkan bahawa usaha mengetatkan kawalan keselamatan di kawasan-kawasan tumpuan pelancong. Bagaimanapun, tindakan itu dianggap sebagai tidak mencukupi dan suatu usaha terdesak untuk menghidupkan kembali Tunisia.

Menurut seorang pengurus hotel lima bintang, Philippe Belhay yang kini kerugian lebih 52 peratus perniagaannya, khabar angin tentang bahaya dan ketidakstabilan Tunisia sangat menjejaskan ekonomi sektor pelancongan.

Sebahagian pengurus hotel di negara itu percaya khabar angin yang tersebar telah menjejaskan kehadiran pelancong dari Algeria, yang lazimnya menjadi pelanggan utama mereka sebelum ini.

Dalam usaha mengatasi keadaan itu, golongan profesional pelancongan di Tunisia terus berharap untuk menerima tempahan di saat-saat akhir.

Sementara itu, penduduk tempatan kini turut dihujani iklan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menawarkan promosi hotel-hotel dengan kadar luar biasa sehingga mencecah 35 peratus.