Antaraks kes paling mencabar Adams




KEJADIAN penyebaran Antaraks, serbuk berbentuk talkum yang boleh membunuh apabila dihidu, mengambil masa lapan tahun untuk diselesaikan. Salah seorang penyiasat forensik yang terlibat dalam penyiasatan menyelesaikan kes itu ialah Pengarah Sains Forensik Universiti Central Oklahoma, Amerika Syarikat, Dr. Dwight Adams.

Beliau menggambarkan kejadian itu sebagai paling mencabar dalam pengalaman menjadi ejen perisik Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Walaupun memegang jawatan Pengarah Sains Forensik Universiti Central Oklahoma dan pernah bertugas sebagai ejen khas FBI selama 23 tahun, Adams sedikit pun tidak menunjukkan perwatakan formal.

Pendekatan yang ditunjukkan beliau semasa bertemu pelajar-pelajar sekolah menengah dan kolej antarabangsa INTI di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini amat mesra dan penuh humor.

“Setiap kali gambar foto saya dirakam oleh jurugambar seperti anda, saya berasa teruja dan ternanti-nanti untuk menunjukkannya kepada ibu saya. Saya mahu beritahu dia, inilah pekerjaan saya. Malangnya gambar yang keluar adalah bayangan seperti ini atau gambar salah kapsyen!” katanya sambil menunjukkan dua potongan akhbar dengan gambarnya yang tidak jelas.

Kata-katanya menjemput lawak tawa pendengar. Adams terus mempertahankan perhatian pendengar sambil berkongsi kisah-kisah menarik dalam hidupnya menjadi ejen khas FBI.

“Apa yang menyebabkan anda memilih menjadi ejen khas FBI?” tanya seorang pelajar perempuan dari Kolej Inti. Seakan-akan membisik, Adams menggunakan mikrofon berkata: “Isteri saya! Dia sering bertanya, bila saya mahu bekerja kalau asyik belajar. Ketika itu saya baru selesaikan pengajian Doktor Falsafah dalam bidang Biologi. Saya membuat keputusan untuk menjadi pensyarah tetapi, saya tidak diterima kerana tiada pengalaman. Oleh itu, saya membuat permohonan di FBI.

“Mereka membalas permohonan saya melalui telefon dan bertanya apa sebenarnya jawatan atau tugas yang saya pohon.” Persoalan itu tidak dijawab Adams. “Ejen khas atau ejen perisik? Ejen khas ditawarkan gaji yang lebih tinggi, soal wanita dalam telefon. Saya terus menjawab, ejen khas! Itulah jawatan yang saya pohon,” tambahnya lagi.

DNA kepakaran Adams

Ternyata keputusan Adams bukan sahaja mengubah seluruh hidupnya, tetapi kemudian komitmen lelaki itu telah mengubah dunia penyiasatan forensik dunia. Mungkin tidak lengkap jika kejayaan Adams tidak dikaitkan dengan pembangunan teknik asid deoksiribonukleik (DNA) dalam penyiasatan forensik. Lelaki tersebut adalah antara individu yang membangunkan penggunaan DNA pada tahun 1988 dan telah diiktiraf sebagai pakar DNA dalam menyelesaikan pelbagai kes jenayah.


Tragedi mayat seorang pelarian Myanmar yang disumbat di dalam kotak televisyen di sebuah kawasan perindustrian Seksyen 36 Shah Alam, Selangor antara kes kendalian Adams.


Berikutan itu dan pelbagai kejayaan dalam bidang penyelesaian jenayah, Adams turut dianugerahkan Anugerah Presidential Rank Award selaku Eksekutif Kehormat iaitu salah satu anugerah tertinggi yang disampaikan oleh kerajaan persekutuan pada tahun 2003.

Adams yang pernah berkhidmat di Majlis Penasihat DNA Kebangsaan untuk mewujudkan standard serta mengawal semua makmal jenayah penyelidikan DNA di AS. Majlis tersebut juga mengurus pangkalan data yang menghubungkan 175 kes jenayah dan bertanggungjawab untuk menyelesaikan lebih 80,000 kes seluruh negara.

DNA selesaikan kes

“Ketika pertama kali menggunakan teknik DNA untuk menyelesaikan jenayah, kami berhadapan dengan pelbagai cabaran. Di AS, setiap kali kita menggunakan sesuatu teknik, kami terpaksa mendapatkan keputusan hakim untuk memastikan sama ada teknik itu boleh diguna atau sebaliknya. Kadangkala kami terpaksa menunggu keputusan lebih lama daripada perlaksanaan,” kata Adams.

Dalam nada rendah, beliau juga memberitahu, tidak semestinya DNA dapat membantu sepenuhnya dalam penyelesaian sesuatu kes. Katanya ada juga kes-kes yang tidak dapat dirungkai atau diselesaikan walaupun pihak FBI menggunakan DNA, termasuk kes antaraks itu sendiri.

Ujar beliau saat ditanya mengenai kerjaya sebagai ejen perisik, “Anda bukan sahaja perlu belajar mengenai DNA atau forensik jika mahu menjadi ejen perisik, malah pelbagai lagi skop turut boleh dijadikan kepakaran. Antaranya matematik, seni, media, multimedia dan beberapa pilihan lain kursus yang boleh digunakan untuk kepakaran perisikan forensik,” katanya sambil mempromosi kursus Ijazah Sains Forensik yang ditawarkan di Universiti Central Oklahoma (UCO) di kepada pelajar-pelajar Kolej Inti.

Selama lebih 20 tahun bertugas antara kes yang paling mencabar dan sukar diselesaikan akuinya, adalah kes penyebaran dan pembunuhan melalui serbuk antaraks.

“Dalam tempoh perkhidmatan saya, antaraks merupakan kes fail yang paling mencabar. Bayangkan, anda perlu mengesan seorang manusia yang menjadi dalang di sebalik penghantaran sampul berisi serbuk antaraks tanpa mengetahui apa-apa mengenainya, termasuk serbuk itu sendiri. Ia bukan seperti siri Crime Scene Investigation (CSI), Bones atau Criminal Minds yang boleh menyelesaikan sesuatu kes dalam sehari dua atau paling lama pun, seminggu. Ini realiti, ia mengambil masa lapan tahun yang kritikal!” katanya yang mengakui banyak kes di bawah FBI yang masih tidak dapat diselesaikan atau dalam usaha diselesaikan walaupun mengambil masa bertahun lamanya.


ADAMS semasa memberikan ceramah mengenai pendidikan Sains Forensik di Kolej INTI di Subang Jaya.


Serbuk antaraks

Bercerita lanjut tentang kes antaraks Adams berkata, serangan biologi yang berlaku pada September 2001 itu membangkitkan kejutan dalam kalangan biro forensik sepertinya.

Kes itu sangat berbeza, daripada jutaan sampul, bagaimana pihak FBI harus mengenal pasti yang satu sampul yang mempunyai kandungan serbuk antaraks.

“Kami melakukan pelbagai perkara untuk menangani kes ini. Kami terpaksa memakai baju bio hazard dan memeriksa satu demi satu peti surat di Monmouth, New Jersey setelah mengenal pasti kawasan sampul-sampul itu diposkan melalui poskod. Tentu sekali pemeriksaan peti surat dilakukan pada waktu malam supaya ia tidak mengejutkan orang awam,” katanya.

Mengimbas kembali kenangan menyelesaikan kes antaraks, Adams berkata pasukannya terpaksa menganalisis setiap 628 peti surat dan satu daripadanya memberikan penemuan positif. “Kami menemui ames strain iaitu salah satu daripada 89 kandungan bacterium antaraks yang ketika itu tidak tahu ia boleh dimodifikasi secara genetik.”

Bagaimanapun, Adams mengakui, kes tersebut mencapai satu penyelesaian apabila Dr. Bruce Edwards Ivins yang merupakan seorang mikrobiologi, vaksinologis dan penyelidik pertahanan bio kanan di Institut Penyelidikan Perubatan Ketenteraan Penyakit Berjangkit AS (USAMRIID) di Fort Detrick, Maryland membunuh diri.

Beliau salah seorang suspek utama kes antaraks dikatakan telah mencabut nyawa sendiri dengan mengambil tylenol secara berlebihan selepas mendapat tahu dirinya akan didakwa oleh FBI di atas jenayah berkaitan serbuk antaraks.

“Itu salah satu contoh kes yang memerah tenaga kira-kira 200 orang perisik, ejen khas dan pihak FBI sebelum ia diselesaikan,” katanya sekali lagi merujuk salah satu adegan CSI yang diselesaikan oleh satu pasukan kurang lima orang.