OKU dakwa tayar kereta dikunci HKL

14/07/2011 4:51pm

KUALA LUMPUR - Seorang warga emas yang juga orang kelainan upaya (OKU) mendakwa tayar keretanya telah dikunci pihak pengurusan parkir Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana meletakkan kereta di kawasan yang salah.

P.Palaniappan, 60, seorang pesara mendakwa beliau datang ke hospital terbabit bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan kesihatan pagi ini.

"Oleh kerana tempat letak kenderaan termasuk OKU telah penuh di hospital, saya terpaksa berlegar-legar bagi mencari tempat letak kereta.

"Saya lihat pada setiap tanda meletak kenderaan OKU dan mendapati hampir separuh daripadanya telah dipenuhi kenderaan staf hospital, dakwa beliau.

"Oleh itu saya terpaksa meletakkan kereta di satu kawasan yang tidak dibenarkan kerana saya tidak mampu berjalan jauh dengan keadaan saya sekarang.

Setelah selesai rawatan, saya dapati tayar telah dikunci dan saya perlu jelaskan bayaran sebanyak RM50, katanya di sini, hari ini.

Beliau mendakwa walaupun telah mempamerkan pelekat khas OKU yang telah dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di kereta Proton Myvinya itu, pihak pengurusan enggan mengalah dan terus mempersalahkannya. - Bernama