30 negara tak iktiraf Libya pimpinan Gaddafi


PARA penyokong Muammar Gaddafi berhimpun di bandar Al-Ajaylat, 80 kilometer ke barat Tripoli, Libya kelmarin.


ISTANBUL Lebih 30 buah negara mengisytiharkan bahawa rejim pemimpin Libya, Muammar Gaddafi tidak sah. Negara-negara itu termasuk Amerika Syarikat (AS) membuat pengumuman itu dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Kumpulan Hubungan dengan Libya berlangsung semalam. Kenyataan itu menyatakan rejim Gaddafi tidak lagi memiliki autoriti yang sah di Libya.

Kumpulan itu akan berurusan dengan Majlis Peralihan Kebangsaan yang merupakan kumpulan pembangkang utama Libya sebagai pihak berkuasa pentadbiran yang sah di negara itu sehingga kerajaan sementara dibentuk. Sementara itu, serangan tentera ke atas rejim pemimpin Libya, Muammar Gaddafi akan ditingkatkan, kata Setiausaha Luar Britain, William Hague semalam.

Menurutnya, Abdul Elah Al-Khatib yang merupakan Utusan Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan menyerahkan syarat-syarat untuk Gaddafi melepaskan jawatannya. Beliau berkata, Abdul Elah telah memainkan peranan penting dalam berurusan dengan kumpulan tertentu di Libya. Pergolakan bagi menuntut peletakan jawatan Gaddafi sebagai pemimpin Libya bermula sejak Februari lalu. Gaddafi memerintah Libya sejak 1969 melalui satu rampasan kuasa tentera ke atas pemerintah negara itu, Raja Idris yang ketika itu berada di luar negara. Agensi