Penaklukan Watson




EMMA CHARLOTTE DUERRE WATSON atau Emma Watson, pertama kali menjadi salah seorang penghuni lapangan seni sewaktu dia berusia sembilan tahun. Waktu itu tidak ada orang yang mengenal kanak-kanak dengan rambut separa ketak dan terlihat begitu bijak dalam filem yang diadaptasi daripada novel terkenal, Harry Potter.

Ironi, pada waktu siri sulung Harry Potter, Harry Potter and the Philosopher's Stone diterbitkan, tak ada siapa yang menyangka ia akan menjadi fenomena seperti sekarang. Kini, dengan memasuki tahun terakhir saga fenomena yang telah berusia 11 tahun, Watson telah membina reputasi dan empayarnya yang tersendiri.

Dengan hanya terbabit dalam saga tersebut, Watson telah menang pelbagai anugerah termasuk untuk kategori Aktres Terbaik. Menerusi watak Hermione Granger, satu-satunya 'bunga' ahli sihir bersama dua kumbang iaitu, Daniel Radcliffe dan Rupert Grint, Watson juga telah menjadi salah seorang pelakon remaja paling kaya di dunia dengan anggaran kekayaan mencecah RM1 billion. Semua yang berlaku kepada diri anak pasangan peguam ini tidak ubah seperti satu sihir.

Bercerita tentang penglibatannya sebagai seorang pelakon, kata Watson yang terkenal dengan kebijaksanaan dan mempunyai nilai fesyen yang tinggi, dia begitu terdesak menginginkan watak Hermione bukan kerana mahu jadi orang popular. Sebaliknya dia merupakan seorang peminat tegar novel tulisan J.K Rowling tersebut.

"Sewaktu kecil, bapa saya adalah orang yang setia membaca novel tersebut kepada saya sebelum tidur. Novel itu juga menjadi peneman saya di alam kereta sebagai teman kala bosan. Secara tak langsung, Harry Potter telah lama hidup dalam diri saya.

"Kemudian, sewaktu saya berusia sembilan tahun, saya ingat lagi, produksi mereka datang ke sekolah saya iaitu Dragon School dan minta guru mengumpulkan sekitar 20 orang pelajar termasuk saya untuk diuji bakat.

"Mereka merakamkan gambar saya di gim sekolah, namun tidak mempunyai sebarang signal bahawa mereka akan mengambil saya sehingga tiga minggu kemudian saya dipanggil ke sesi uji bakat sebenar," cerita Watson tentang pembabitan awalnya dengan filem tersebut.

Dia kemudian harus menjalani lapan sesi uji bakat dan hampir berputus asa selepas terpandang seorang pelakon perempuan yang sudah terkenal dan nampak serasi dengan salah pelakon lelaki lain (bukan Radcliffe). Namun bagai satu magis, dengan kesungguhannya untuk merebut watak idaman tersebut, ia akhirnya menjadi milik dia dan kini watak Hermione telah membesar bersama kemashyuran yang ditempa aktres kelahiran Paris itu.

"Sejak pertama kali diuji bakat, saya tahu watak idaman ribuan gadis yang menjalani uji bakat sama itu bakal menjadi milik saya. Dan kini, selepas 11 tahun, dengan lapan saga kesemuanya, saya masih belum mahu berhenti menjadi Hermione.

"Saya boleh beri jaminan, saya masih setia untuk menjadi Hermione untuk tempoh 10 atau 30 tahun lagi," katanya penuh semangat.

Menyentuh tentang imbuhan luar biasa yang diterima menerusi pembabitannya dalam filem tersebut, Watson mengaku dia kini boleh bermewah terhadap hasil kerja kerasnya selama ini.


BARISAN pelakon dan produksi Harry Potter mengakhiri saga fenomena tersebut dengan penuh emosi.


Malah beritahu Watson, hasil duit yang diperoleh daripada filem sulung Harry Potter dahulu, dia belanjakan untuk membeli kereta buat diri sendiri, membeli sebuah komputer riba dan membawa keluarganya bercuti untuk membalas jasa baik keluarga yang menjadi tulang belakangnya selama ini.

"Kalau boleh dikira, saya mungkin tak perlu bekerja lagi untuk masa hadapan hanya dengan hasil yang saya perolehi daripada saga ini," akuinya jujur.

Namun apabila sekali kaki sudah terpasak di bumi lakonan, sukar untuk dia 'cuci tangan'.

Walaupun pada usia sembilan tahun dia pernah memberi jawapan tidak mungkin mejadi pelakon seumur hidup, kini kenyataan itu berubah.

Watson hari ini bukan sekadar dikenali sebagai gadis sihir, sebaliknya kredibilitinya mula teruji dalam filem-filem genre lain yang menampakkan sosok kematangannya.

Ulat buku

Ketokohannya sebagai seorang aktres banyak dibantu oleh kecerdikan dia mengurus diri. Memasuki sekolah lakonan seawal usia lima tahun, duduk di dalam sebuah produksi mega dan menjadi salah seorang aktres Hollywood termahal pada usia baru mencecah 21 tahun, perjalanan hidup Watson sudah dilihat lengkap.

Namun bagi Watson sendiri, kehidupannya tidak lengkap kecuali dia dapat menyudahkan pengajiannya. Mengaku di luar dunia Potterworld (gelaran yang diberi kepada saga Harry Potter) dia seorang gadis naif dan ulat buku. Dia suka belajar dan tidak mahu berhenti belajar.

"Banyak orang bertanya mengapa saya perlu belajar lagi sedangkan saya sudah popular dan kaya dengan hasil sebagai seorang pelakon.

"Mereka semua tak tahu tentang bahagia menjadi seorang pelajar dan mempunyai teman-teman di luar dunia glamor. Sebagai seorang yang telah banyak tertinggal pelajaran, ia (belajar) amat bermakna buat saya," ujarnya mengenai pendiriannya untuk tidak meninggalkan alam 'sekolah'.

Selain terkenal cenderung belajar, satu lagi ciri khas Watson yang dikesan semakin hebat adalah tentang dunia fesyen. Telah berkolaborasi dengan banyak pemilik busana fesyen tersohor malah dia juga mempunyai label fesyen sendiri, Watson memberitahu, dia tidak gemar membazir membeli pakaian berjenama terkenal.

"Secara jujur, saya tidak selalu membeli pakaian berjenama mewah, tetapi saya akui mempunyai beberapa koleksi jenama mewah.

"Saya adalah perempuan tipikal yang akan meminjam atau menyewa sesuatu yang saya suka untuk dipakai ke mana-mana acara istimewa dan memulangkan ia semula pada masanya, macam Cinderella," katanya.