Gafim dapat hak anjur FFM 24


TENAGA kerja Gafim untuk FFM 24 bergambar bersama sebahagian para penaja bagi merealisasikan festival tahunan tersebut.


FESTIVAL Filem Malaysia (FFM) merupakan acara anugerah yang cukup berprestij bagi memartabatkan dan memberi pengiktirafan kepada seluruh warga karyawan filem di negara ini.

Bagaimanapun, pada kali ini acara anugerah tersebut bakal menyaksikan sedikit perubahan memandangkan ia tidak lagi dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Jika pada tahun-tahun sebelumnya Finas diberi tanggungjawab melaksanakannya, kini Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) telah memberi mandat kepada Gabungan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) untuk menganjurkan FFM 24.

Pengerusi Publisti dan Promosi FFM 24, Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London berkata, sekarang sudah tiba masanya hak penganjuran acara berkenaan diberikan kepada pihak persatuan.

“Apa yang menariknya, hanya Malaysia satu-satunya negara yang menganjurkan festival filem oleh pihak kerajaan menerusi Finas, sedangkan pengajuran festival sebegini di luar negara dilaksanakan oleh pihak luar.

“Biarpun tanggungjawab ini telah diberikan kepada Gafim, namun Finas masih turut memainkan peranan penting terutamanya peruntukan dana sebanyak RM1 juta dan khidmat nasihat,” ujarnya yang juga merupakan Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM).

Menurut Mat London, menjelang acara kemuncak yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 19 November ini, beberapa program telah diaturkan sebagai langkah untuk mempromosikan lagi anugerah tersebut.

Ujarnya, antara program yang dianjurkan dalam tempoh empat bulan ini seperti majlis prapelancaran FFM 24, majlis berbuka puasa, siri jelajah ke beberapa buah negeri dan majlis makan malam publisiti dan promosi.

“Untuk majlis prapelancaran nanti, ia akan dilangsungkan di Kompleks Kraf Malaysia, Kuala Lumpur pada 25 Julai ini dan kami akan mengundang seluruh karyawan filem di negara ini untuk hadir,” jelasnya.

Ditanya mengenai peruntukkan sebanyak RM1 juta yang diberikan kepada mereka untuk menganjurkan FFM 24, Ahmad mengakui jumlah tersebut sebenarnya tidak cukup untuk menganjurkan sebuah acara yang besar.

Jelasnya lagi, ketika ini Gafim sekadar mempunyai RM650,000 sahaja untuk perbelanjaan pengurusan memandangkan RM350,000 telah diperuntukkan untuk trofi dan hadiah wang kemenangan kepada setiap pemenang.

Filem bukan Melayu

Mat London turut memberitahui, sekurang-kurangnya sebanyak RM2.5 juta diperlukan termasuk kos promosi dan ketika ini mereka masih lagi berusaha keras untuk mencari penaja agar FFM 24 nanti akan dapat berlangsung dengan lancar.

Jika sebelum ini penganjuran FFM dilihat lebih mengangkat filem-filem Melayu, namun pada kali ini Gafim turut mengharapkan agar lebih banyak penyertaan diterima daripada filem-filem bukan Melayu.

Ujar Ahmad, penyertaan filem bukan Melayu perlu ada bagi menyemarakkan lagi sambutan FFM 24 dalam mempelbagaikan karya filem keluaran tempatan termasuklah filem bahasa Cina dan Tamil agar bersesuaian dengan tema pada kali ini iaitu Gemilang Filem Malaysia.

“Kami telah sepakat untuk mewujudkan kategori Filem Bukan Melayu yang pernah digugurkan sebelum ini memandangkan pihak kami yakin akan menerima lebih banyak penyertaan untuk kategori tersebut.

“Pada acara sebelum ini kategori berkenaan terpaksa digugurkan memandangkan hanya dua filem bukan Melayu yang menghantar penyertaan, namun kali ini kami jangka akan ada enam buah filem yang turut serta,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Media dan Acara FFM 24, Wani Wendy Wong dalam satu sidang akhbar baru-baru ini berkata, pihaknya meminta semua penerbit filem dapat mempercepatkan penghantaran karya masing-masing.

Jelasnya, semua filem yang dihasilkan dan ditayangkan dalam tempoh 24 Oktober 2010 sehingga 1 Oktober 2011 layak untuk dipertandingkan dan dianggarkan ada 29 buah filem yang layak.

“Tarikh tutup penghantaran pencalonan pula adalah pada 15 Ogos 2011 dan mana-mana penerbit yang gagal berbuat demikian selepas tarikh tersebut menyebabkan filem mereka tidak layak untuk dipertandingkan,” tegasnya.