Delegasi Korea Selatan lawat Negeri Sembilan


Para delegasi dari Korea Selatan bergambar selepas mengadakan lawatan muhibah bagi mengeratkan hubungan dengan rakyat Malaysia di Taman College Heights, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.


ERAT. Seramai 120 delegasi dari Korea Selatan yang menyertai program lawatan muhibah ke negara ini dibawa mengunjungi Taman College Heights, Seremban baru-baru ini.

Dalam program yang dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional itu, para peserta telah didedahkan mengenai amalan tradisi masyarakat Melayu seperti permainan congkak, membuat dodol, lemang dan menganyam ketupat.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat negeri, Datuk Mohamad Razi Kail berkata, program tersebut dapat mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara.

"Kita bangga kerana delegasi ini memilih Negeri Sembilan yang merupakan destinasi pilihan mereka selain dapat mengeratkan hubungan bukan sahaja dalam bidang pelancongan tetapi juga bidang-bidang yang lain," katanya.