Taman rekreasi hijau di tengah kota




TAMAN Tasik Perdana yang berusia 122 tahun dan terletak di tengah-tengah kota metropolitan Kuala Lumpur kini diberi nafas baru. Selepas dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, ia dikenali sebagai Taman Botani Perdana.

Tidak lagi menjadikan tasik sebagai identiti taman itu, pihak berkuasa tempatan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertanggungjawab menguruskannya telah menghiasi taman berkenaan dengan pelbagai spesies flora sekali gus menjadikan ia taman botani bertaraf dunia.

Taman yang telah wujud sejak tahun 1888 itu telah selesai menjalani fasa pengubahsuaian pertama awal tahun ini sekali gus menawarkan suasana baharu buat penduduk di sekitar Kuala Lumpur untuk beriadah dan bersiar-siar.

Suasana taman yang mendamaikan termasuk beberapa lokasi menarik yang dinaik taraf di sekitarnya dilihat mampu menggandakan kehadiran pengunjung.

Taman Botani Perdana yang seluas 101.12 hektar itu merupakan salah satu di antara 14 buah taman rekreasi awam paling aktif di sekitar Kuala Lumpur.

Antara taman lain yang terdapat di Kuala Lumpur ialah Tasik Titiwangsa, Tasik Permaisuri, Tasik Bukit Jalil, Tasik Manjalara, Tasik Metropolitan Batu, Tasik Metropolitan Kepong, Rimba Kiara, Datuk Keramat, Arboretum Bukit Kiara, Pudu Ulu dan Alam Damai.

Bukan sekadar lawatan ke taman yang penuh dengan tumbuh-tumbuhan subur, di sekeliling taman itu terdapat beberapa lagi tarikan menarik untuk dikunjungi. Ternyata, tempoh satu hari bagaikan tidak cukup untuk menghabiskan pusingan ke semua lokasi itu.

Antara tempat yang boleh dituju di kawasan berdekatan adalah Pustaka Perkhidmatan Awam Malaysia, Taman Rama-Rama, Taman Bunga Raya, Taman Orkid, Taman Herba dan Konservatori, Taman Rusa dan Kancil, Memorial Tun Abdul Razak, Planetarium Negara, Muzium Polis dan Muzium Kesenian Islam.

Selepas dirasmikan dengan nama Taman Botani Perdana, ternyata sambutan yang diterima daripada orang ramai amat positif. Rata-rata pengunjung yang ditemui menghargai suasana taman riadah dan rekreasi tersebut.


RUSA-RUSA ini pasti mencuit hati pengunjung lantaran ia jinak dan manja.


Selain landskap taman flora yang menyejukkan pandangan mata, ia turut mengambil kira kemudahan tambahan buat para pengunjung. Penyediaan surau, tandas, gerai, kawasan permainan kanak-kanak, bangku duduk dan peralatan senaman individu amat tepat dengan konsep taman awam bertaraf tinggi.

Seorang pengunjung, Nor Azura Hashim, 30, berkata, setiap minggu dia dan suami akan datang ke taman itu bersama dua orang anak mereka untuk bersiar-siar.

“Persekitaran taman ini sangat menarik. Ia memang sesuai dijadikan destinasi riadah untuk keluarga. Cuma buat masa ini, beberapa taman kecil masih dalam proses dinaik taraf.

“Ekoran itu kita dapat lihat kerja-kerja pembinaan dan baik pulih sedang giat dilakukan kontraktor binaan di beberapa kawasan sekitar taman di sini,” katanya.

Tambah Nor Azura, beberapa taman seperti Taman Bunga Raya, Taman Herba dan Taman Rusa perlu diberi perhatian yang lebih oleh pihak pengurusan agar kemudahan serta penampilannya lebih terjaga.

Tarikan rama-rama

Lokasi menarik lain untuk dikunjungi di Taman Botani Perdana ialah Taman Rama-Rama Kuala Lumpur yang menempatkan kira-kira 5,000 ekor rama-rama selain beberapa spesies haiwan eksotik lain.

Terletak di Jalan Cenderasari, kawasan seluas 0.8 hektar itu menjadi tarikan ribuan pengunjung yang mahu mendekati kitaran hidup serangga itu dan beberapa jenis haiwan lain.

Dengan bayaran RM9 bagi dewasa, RM4 untuk kanak-kanak berusia dua hingga 11 tahun dan RM26 bagi pakej keluarga (dua dewasa dan tiga kanak-kanak), pengunjung boleh meluangkan masa lebih satu jam untuk bersiar-siar di dalam taman itu.

Menurut Pegawai Perhubungan Awamnya, Roslyn Gina, 42, antara spesies rama-rama paling popular dan terancam yang menghuni taman itu termasuklah Indian Leaf (Kallima Paralekta), Great Moment dan Rajah Brooke.

“Terdapat 120 jenis rama-rama di dalam taman ini. Selain itu, taman ini juga mempunyai 10 jenis kura-kura, 16 jenis kumbang, dua jenis katak dan pelbagai spesies ikan untuk tontonan pengunjung selain rama-rama,” terangnya.

Tambah Roslyn, taman tersebut turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk pelawat kanak-kanak. Spesies rama-rama dan serangga boleh didekati melalui pameran dan bahan maklumat yang bersifat akademik.

Meskipun taman itu sudah berusia 17 tahun, kunjungan pelancong yang tidak putus-putus ke situ membuktikan destinasi percutian tersebut masih bertahan dalam diari percutian negara.


Roslyn melihat 'telatah' kura-kura yang banyak di salah sebuah kolam di Taman Rama-Rama.


Horizon juga berkesempatan bertemu Penolong Pegawai Pertanian, Taman Botani Perdana, Suhaila Mohd. Sani yang bertanggungjawab menguruskan Taman Herba dan Konservatori, Taman Bunga Raya, Taman Orkid dan Taman Rusa dan Kancil.

“Taman Herba dan Konservatori masing-masing seluas 0.3 hektar. Sementara Taman Herba menempatkan kira-kira 100 jenis pokok herba, Taman Konservatori pula mempunyai 30 kategori pokok yang setiap satunya ditanam sebanyak 20 batang,” katanya.

Para penggemar haiwan tentunya tidak mahu melepaskan peluang untuk mengisi masa dengan membelai, bergambar dan memberi makan hidupan dan ternakan jinak itu dengan tangan.

Taman Rusa dan Kancil yang dibuka pada 2 September 1987 kini menjadi habitat untuk 56 ekor rusa, 11 ekor kambing, 15 ekor kancil, 25 ekor itik, lima ekor ayam dan enam ekor angsa.

“Di sini terdapat dua jenis rusa yang terdiri daripada baka Holland dan Morses (tempatan) serta baka kacukan kedua-duanya,” kata petugas taman, Abdul Patah Zainul, 54.

Bunga kebangsaan

Suhaila turut memberitahu bahawa Taman Bunga Raya yang dirasmikan oleh Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali pada tahun 1990 menawarkan pelbagai spesies bunga raya di atas tanah seluas 0.9 hektar.

Terdapat lebih 200 jenis kacukan bunga raya pelbagai warna dan corak hidup subur di sepanjang lorong siar kaki dan permukaan teres yang menghiasi landskap taman tersebut.

Selain itu, Taman Orkid yang terletak di Jalan Cenderawasih menambat pesona pengunjung dengan dua kategori orkid iaitu dari spesies pokok asal dan kacukan.

Bagaikan taburan perca berwarna-warni, terdapat lebih 1,000 jenis bunga orkid dapat dilihat menyerikan taman itu.

Setelah puas berjalan di taman itu, pengunjung disyorkan untuk singgah ke Bazar Orkid yang terletak di tengah-tengah taman itu kerana pelbagai spesies bunga orkid dijual pada harga yang murah.

Sepasu bunga orkid dijual pada harga antara RM5 dan RM200, bergantung kepada saiz dan jenis bunga orkid tersebut.